UMNO/BN Muhasabah, Cabaran Politik Semasa Cukup Berbeza – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 27 Dis – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu muhasabah diri dan mencari pengajaran berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Menurutnya, parti ini harus memberikan nafas yang baharu kerana cabaran politik masa kini cukup jauh berbeza terutamanya pengundi muda.

“UMNO/BN perlu melakukan rejuvenasi yang baharu kerana demografi dan politik pada kali ini berbeza dengan pengundi seawal umur 18 tahun terlibat. Sudah pasti tahun hadapan dan seterusnya akan bertambah pengundi muda.

“UMNO perlu mengikut peredaran zaman dan tidak perlu lagi bersandarkan pada kegemilangan, sejarah, budi dan jasa UMNO tetapi harus melihat ke depan khususnya untuk anak-anak muda.

“Saya percaya kepimpinan UMNO/BN pasti akan menyentuh dan mencipta lebih banyak ikon. Kita melihat parti-parti lain yang memenangi pada pilihan raya lalu telah mencipta satu ikon untuk anak muda dan banyak dalam kalangan generasi ini menjadi pemimpin,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Kata Abdul Aziz lagi, UMNO perlu menguasai media sosial kerana anak muda hanya mengenali parti politik melalui jaringan tersebut.

“Melihat pada PRU-12, 13, 14 dan 15 sebenarnya UMNO/BN masih gagal menguasai media sosial kerana anak-anak muda sekarang ini sebenarnya platform ‘follow’ mereka untuk mengenali parti politik ini melalui media sosial.

“Kalau tidak guna sebaik-baiknya media sosial ini pasti akan ketinggalan pada PRU16 dan ianya satu pengajaran paling berharga bagi UMNO/BN,” katanya lagi.

Tegasnya, ini adalah satu pengajaran yang sangat berharga dan kepimpinan UMNO/BN perlu ambil iktibar bahawa media sosial adalah sangat penting. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.