PH, BN Perak Bentuk Jawatankuasa Perundingan Pertahan Kestabilan Politik

IPOH, 22 Dis – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Perak bersetuju membentuk Jawatankuasa Perundingan dalam memastikan agenda kestabilan kerajaan negeri yang dibentuk hasil persefahaman antara kedua-dua gabungan itu sentiasa dipertahankan.

Pengerusi PH Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan bersama semalam memaklumkan pembentukan jawatankuasa itu adalah simbol komitmen dalam menjunjung titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah supaya kestabilan politik sentiasa disuburkan demi menjamin kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut telah mengadakan mesyuarat pertamanya semalam dengan dipengerusikan Saarani dan Mujahid serta dihadiri pemimpin parti-parti komponen PH dan BN Perak,” menurut kenyataan itu.

Berikut adalah ketetapan penting yang dicapai kedua-dua parti berkenaan:

• Memastikan Kerajaan Negeri Perak kekal stabil untuk menyempurnakan sepenuhnya penggal pentadbiran dengan berganding bahu menjunjung keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

• Memastikan agenda kebajikan rakyat sentiasa didahulukan melalui penyuburan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah kepimpinan Menteri Besar serta pasukan pentadbirannya.

• Memakmurkan Perak dengan kegiatan ekonomi yang pesat serta menjana pendapatan negeri melalui amalan pentadbiran kerajaan yang bersih, telus, adil dan bertanggungjawab kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

• Memperkukuh dan memanfaatkan saluran media di semua platform secara lebih berkesan bagi menyampaikan maklumat kepada warga Perak khususnya dan umumnya rakyat Malaysia mengenai dasar dan pencapaian Kerajaan Negeri Perak.

• Memelihara keharmonian hubungan antara parti di semua peringkat bagi menjayakan dan melicinkan perjalanan pentadbiran negeri di peringkat akar umbi.
PH dan BN menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.