Lebih 56,000 Mangsa Banjir Berada Di PPS Lima Negeri

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Seramai 56,159 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat pagi ini dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Di TERENGGANU situasi banjir tidak menunjukkan petanda lebih baik apabila angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 melibatkan 10,401 keluarga berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga malam tadi dan semua mereka ditempatkan di 310 PSS yang beroperasi di semua lapan daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Kemaman menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 12,000; diikuti Besut (8,228); Hulu Terengganu (6,691); Setiu (3,988); Dungun (2,484); Kuala Nerus (1,521); Kuala Terengganu (1,900) manakala Marang (980).

Hujan lebat dilaporkan pagi ini.

Di KELANTAN, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi ini, berbanding 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam tadi.

Sebanyak 106 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, lapan sungai utama melepasi paras bahaya antaranya Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 41.57 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.01 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.80 m).

Sementara itu, di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti semalam iaitu 934 orang dan mereka berada di 11 PPS di dua daerah iaitu di Kuantan serta Raub.

Sungai Keratong di Rompin masih berada di paras bahaya pagi ini, manakala dua lagi sungai direkodkan pada paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Jabatan Meteorologi meramalkan semua daerah di Pahang akan mengalami hujan pada pagi ini.

Di JOHOR, Sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir yang masih ditempatkan di tiga PPS membabitkan daerah Segamat kekal 53 orang setakat pukul 8 pagi ini.

“Kesemua mangsa daripada 17 keluarga itu adalah penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya,” menurut JPBN.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, berada pada paras amaran dengan ketinggian 8.75 m, manakala cuaca dilaporkan cerah di semua daerah setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 54 orang daripada 17 keluarga membabitkan dua daerah iaitu Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Jurucakap Sekretariat JPBN Perak memaklumkan jumlah itu tidak berubah sejak pukul 12 tengah malam tadi.

Semua 26 mangsa di Bagan Datuk ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat manakala 28 orang di Hilir Perak berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abd Rahman Talib (SMART). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.