Johari Abdul Dilantik Speaker Dewan Rakyat Baharu

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

Terdahulu Mohd Radzi dicalonkan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili pembangkang.

Usul pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang jam 10 pagi ini.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin berkata beliau menerima surat mencadangkan nama Johari dan Mohd Radzi daripada Anwar dan Hamzah pada 5 Dis 2022.

Oleh kerana terdapat lebih daripada satu cadangan nama, maka undi bersurat oleh semua Ahli Parlimen diperlukan mengikut peraturan mesyuarat 4 (3).

Sebelum ini, Azhar Azizan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Dis setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.