Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid Dipilih Semula Speaker DUN Perak

IPOH, 19 Dis – Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dipilih semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini untuk penggal kedua berturut-turut.

Pencalonan Mohamad Zahir, 54, sebagai Speaker dikemukakan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan (PH-Sungkai) manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen pula dipilih sebagai Timbalan Speaker.

Pada Mesyuarat Pertama, Tahun Pertama, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Perak hari ini, kesemua 58 ADUN Perak turut mengangkat sumpah jawatan termasuk Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria yang memenangi kerusi DUN Gunung Semanggol, manakala ADUN Kepayang Nga Kor Ming tidak hadir kerana terlibat dalam persidangan di Dewan Rakyat.

Dalam ucapannya, Mohamad Zahir menasihatkan semua ahli Dewan supaya menjaga adab, amanah tingkah laku sewaktu perbahasan di dalam Dewan dan meminta kerjasama semua pihak agar aturan mesyuarat berjalan lancar.

Persidangan pada hari ini kemudiannya ditangguhkan dan bersambung esok untuk istiadat pembukaan yang akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Pada 21 Nov, Saarani dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu sebelum mengumumkan portfolio kesemua 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi. – BERNAMA