Kepimpinan Tertinggi IPT Perlu Jaga Keharmonian Institusi – Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 16 Dis – Semua kepimpinan tertinggi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta perlu menjaga keharmonian institusi itu bagi memastikan matlamat melahirkan graduan berdaya saing dan berani berdepan cabaran mampu dicapai.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana kepimpinan tertinggi merupakan peneraju utama sesebuah IPT sekali gus dapat memastikan institusi mereka kekal relevan dan berguna kepada negara dan masyarakat.

“Semua kepimpinan tertinggi IPT terutama naib canselor perlu memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing dan dapat memimpin universiti mereka… ada sesetengah universiti, wujud keadaan tidak harmoni antara warganya dan ia boleh menjejaskan perjalanan universiti dan matlamat untuk mencapai kejayaan.

“Pihak IPT janganlah hanya mengejar prestij dan bagus dalam ranking semata-mata tetapi perlu memastikan bahawa institusi mereka kekal relevan dan berguna serta menepati kehendak negara dan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Masjid Jamek An Nur, Felda Simpang Waha di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan dan perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuannya dengan pihak universiti dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan tinggi itu.

Mohamed Khaled berkata pertemuan dengan pihak universiti telah diadakan secara berperingkat baru-baru ini dan pihaknya terbuka menerima segala cadangan dan pandangan mengenai hala tuju dan perjalanan pelaksanaan pendidikan tinggi untuk negara.

Rabu lepas, Mohamed Khaled dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan pihak universiti dalam usahanya memperkasakan sektor pendidikan tinggi.

Beliau dilapor akan turut mendengar taklimat daripada pihak universiti supaya dapat memahami lebih jelas peranan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta institusi dalam kementerian. – BERNAMA