Johor Catat Pelaburan Tertinggi RM63.9 Bilion, Kekal Destinasi Pelaburan Utama Negara

JOHOR BAHRU, 16 Dis – Johor mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi untuk tempoh Januari sehingga September tahun ini iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 14 Disember lepas, pelaburan yang dicatatkan itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

Beliau berkata sektor perkhidmatan tetap mendominasi pelaburan di Johor iaitu sebanyak RM55.06 bilion, diikuti sektor perkilangan RM8.84 bilion dan sektor utama berjumlah RM25 juta.

“Sebanyak 340 projek diluluskan MIDA manakala 11,968 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan-pelaburan tersebut.

“Statistik itu menunjukkan Johor tetap menjadi destinasi pelaburan utama dalam negara bersandarkan ekosistem pelaburan dan perindustrian yang memenuhi kriteria para pelabur asing dan domestik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lee berkata pencapaian positif itu turut disumbangkan oleh penyediaan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, kestabilan politik di Johor, utiliti dan tanah yang mencukupi serta infrastruktur seperti pelabuhan dan kemudahan asas yang baik.

Sementara itu, beliau berkata Johor juga dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, peranti perubatan, pembuatan termaju serta industri sokongan berkaitan.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi pelaburan dari negara luar baru-baru ini seperti Insulet Corporation dari Amerika Syarikat dan Singapura yang membangunkan kilang pengeluaran peranti perubatan serta Sistem Pengurusan Insulin Omnipod.

“Begitu juga GDS Holdings Ltd, Bridge Data Centres dari China serta YTL Power International Bhd Malaysia yang membangunkan pusat-pusat data tersendiri secara berskala besar dan Wiwynn Corporation dari Taipei yang menubuhkan fasiliti pembuatan papan litar bercetak,” katanya.

Lee berkata pelaburan itu juga sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk Bangsa Johor selain meningkatkan daya saing.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan inisiatif Pejabat Pelaburan Digital untuk mewujudkan iklim perniagaan unik dalam menarik pelaburan projek-projek digital, terutamanya bagi pembangunan pusat data di negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah pelaburan yang diterima pada tahun ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.