Bajet 2023 Gariskan, Usaha Kerajaan Negeri Melaka Pulihkan Ekonomi

MELAKA, 15 Dis – Pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka bukan sahaja menggariskan usaha kerajaan negeri memulihkan ekonomi tetapi perlu menjadi “wake up call” atau peringatan terhadap pemimpin tentang akujanji mereka kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata adalah penting pada ketika ini untuk semua pihak segera merapatkan jurang perbezaan, mencari titik persamaan, membuka lembaran baharu serta memulakan langkah menuju masa hadapan bersama-sama.

“Ini penting terutama ramalan pakar dan beberapa pihak, mengandaikan tahun hadapan penuh dengan cabaran serta ketidaktentuan ekonomi dunia termasukan berlakunya kemelesetan.

Jadi, suka atau tidak, kita tidak banyak pilihan melainkan berusaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan ini demi menghadapi situasi mencabar tersebut,” katanya pada sesi penggulungan penangguhan perbahasan Bajet 2023 Negeri Melaka pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata buat pertama kalinya dalam sejarah pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka mendapat sokongan 100 peratus daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir termasuk bukan kerajaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua ADUN yang mengambil bahagian dan menunjukkan sikap profesional, matang serta terbuka semata-mata untuk kepentingan rakyat dan Negeri Melaka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.