Melaka Wujud Kawasan Perindustrian Bertaraf Dunia Di Alor Gajah

MELAKA, 13 Dis – Kerajaan Negeri Melaka akan mewujudkan sebuah kawasan industri baharu bertaraf dunia di Alor Gajah dalam masa terdekat bagi menarik syarikat bertaraf Fortune 500 untuk melabur di negeri berkenaan pada tahun depan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kawasan perindustrian baharu itu membabitkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.

Beliau berkata kemudahan berkenaan boleh dijadikan tawaran baharu kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai satu daripada insentif yang boleh diberikan kepada pelabur.

“Pilihan (untuk melabur) ke Melaka ialah satu pilihan (baharu) kerana Melaka ada kawasan industri terancang (bertaraf dunia),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Ab Rauf menjawab soalan tambahan dikemukakan Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk menarik pelabur ke Melaka pada tahun depan.

Menjawab soalan asal Fairul Nizam mengenai nilai pelaburan luar negeri di Melaka hingga November 2022, Ab Rauf berkata kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan data bagi tempoh itu.

“Namun setakat Jun, jumlah nilai pelaburan di Melaka yang diluluskan MIDA berjumlah RM3.24 bilion merangkumi pelbagai sektor premier seperti pertanian, perikanan, perladangan dan komoditi, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Mengenai peluang pekerjaan diwujudkan hasil pelaburan itu, beliau berkata merujuk kepada portal MYFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hingga 17 November, terdapat 8,169 kekosongan aktif merangkumi sektor premier berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.