Melaka Sasar Tiga Projek Usaha Sama, Pastikan Anak Syarikat Capai Keuntungan 20 Peratus

MELAKA, 12 Dis – Kerajaan Melaka menyasarkan sekurang-kurangnya tiga projek usaha sama dilaksanakan anak syarikat di bawahnya dengan kerjasama rakan kongsi perniagaan baharu dari dalam dan luar negara dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata sasaran itu dalam usaha memastikan bilangan anak syarikat kerajaan negeri yang mencatatkan keuntungan pada kadar 20 peratus setahun, bertambah selaras dengan pembukaan semua sektor ekonomi di fasa endemik.

Beliau berkata antara sektor perniagaan dipelopori anak syarikat kerajaan negeri bersama rakan kongsi terlibat ialah pendidikan, kesihatan atau perubatan, perhotelan, hartanah, kewangan dan teknologi.

“Tahun lepas, 10 anak syarikat kerajaan negeri mencatatkan peningkatan keuntungan melebihi 20 peratus, enam anak syarikat merekodkan keuntungan kurang 20 peratus manakala 23 lagi anak syarikat berjaya mengurangkan kerugian.

“Melaka merupakan negeri pelancongan dan penularan COVID-19 memberi impak besar kepada ekonomi terutama terhadap agensi serta anak syarikat kerajaan negeri yang menjalankan aktiviti berasaskan pelancongan dan perhotelan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Sulaiman berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang ingin tahu prestasi anak syarikat kerajaan negeri dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pada Bajet Negeri Melaka 2021.

Beliau berkata antara sektor perniagaan yang boleh dipelopori anak syarikat kerajaan negeri bersama rakan kongsi terlibat ialah bidang pendidikan seperti dilaksanakan Institut Air Melaka (MWI) di bawah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan tiga rakan strategik iaitu Jabatan Tenaga Manusia, PBA Resources Sdn Bhd dan Malaysian Water Academy Sdn Bhd.

Katanya kerjasama berkenaan melibatkan pembangunan bahan pengajaran, penyediaan tenaga pengajar serta tempat latihan untuk penyediaan latihan kemahiran di bawah sistem pensijilan kemahiran kebangsaan bagi industri bekalan air.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu anak syarikat disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang dan pihaknya kini sedang mengenal pasti anak syarikat yang berpotensi.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) berkaitan senarai 10 anak syarikat kerajaan negeri yang mencapai keuntungan lebih 20 peratus pada tahun lepas, beliau berkata antaranya ialah Pusat Dagangan Antarabangsan Melaka (MITC), Institut Pengurusan dan Integriti Melaka dan Hospital Putra. – BERNAMA