Melaka Lancar Rangkaian 5G Meliputi 41 Kawasan Tersedia

MELAKA, 6 Dis – Melaka melancarkan liputan rangkaian 5G secara rasminya hari ini, meliputi 41 kawasan tersedia di Melaka Tengah dengan 46 peratus capaian adalah di kawasan berpenduduk padat.

Exco Kanan Pelaburan Perindustrian Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata dengan kemudahan teknologi itu, kerajaan negeri berhasrat menjadi peneraju bandar pintar di negara ini di samping mewujudkan pelbagai akvititi yang mampu menjana ekonomi.

“Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pendigitalan perniagaan akan menjadi antara faktor penting yang dilihat menjadi pemangkin untuk menarik minat pelabur asing.

“Selain itu kerajaan negeri bersama Melaka ICT Holdings (MITCH) merangka pelbagai bentuk program termasuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kawasan tumpuan pelancongan,” katanya kepada pemberita di Banda Hilir di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Persidangan Antarabangsa SMART Melaka 2022 (SMIC 2022) dan Pelancaran 5G di Melaka yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga sedang membangunkan satu kerangka digital baharu menerusi aplikasi ‘Melaka Super Apps’ yang akan memberi nilai tambah perkhidmatan digitalisasi industri pelancongan bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Beliau berkata aplikasi tersebut meliputi seluruh kawasan di Melaka termasuk kawasan tumpuan pelancongan yang membolehkan pengguna mendapat segala maklumat seperti sejarah, lokasi dan tempat makanan menarik selain pembelian tiket produk pelancongan secara terus menerusi penggunaan telefon pintar.

“Pembangunan aplikasi ini akan dilakukan dengan kerjasama syarikat teknologi yang berminat untuk menyediakannya dan setakat ini 10 syarikat telah menunjukkan minat mereka, tetapi kita akan memilih yang terbaik dan mempunyai ciri-ciri tersebut,” katanya.

Sementara itu Rais berkata pihaknya menjangkakan sebanyak 100 kawasan di Melaka akan menerima liputan rangkaian 5G menjelang hujung tahun ini.

Katanya kadar liputan 5G di Melaka juga akan dipertingkatkan di bawah Fasa 2 Pelan Pelaksanaan 5G Negeri Melaka oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan tambahan 74 lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bermula awal tahun depan.

“Atas kerjasama dan komitmen yang diberikan kerajaan negeri, pelaksanaan 5G di Melaka ini dapat diawalkan daripada pertengahan 2023 kepada pertengahan tahun ini.

“Di bawah Fasa 1 Pelan Pelaksanaan 5G Negeri Melaka oleh DNB, sebanyak 133 tapak telah dikenal pasti bagi menyediakan liputan 5G di sekitar kawasan Melaka Tengah,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.