Johor Rancang Bangunkan Modul Khas Politik, Kenegaraan Susulan Undi18

ISKANDAR PUTERI, 6 Dis – Kerajaan Johor mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah modul khas bersifat politik dan kenegaraan kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata modul berkenaan sedang dikaji Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta Institut Dato’ Onn (IDO).

“Penglibatan IDO penting dalam penghasilan modul ini berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dipunyai oleh agensi ini dan buat masa ini pelajar sekolah menengah didedahkan dengan Amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan melalui Kelab Malaysiaku di 73 sekolah di seluruh Johor.

“Setakat ini, dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR), pelajar didedahkan dengan proses pilihan raya di samping memberi penekanan kepada kepentingan menjadi pengundi bertanggungjawab dalam memilih kepimpinan untuk menerajui negara di masa hadapan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Norlizah (BN-Johor Lama) menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan membangun modul khusus bersih politik dan kenegaraan sejajar dengan penurunan had umur mengundi di negara ini kepada 18 tahun.

Menurut Norlizah, JaPen telah melaksanakan 20 Program Cambah Minda atau Taklimat Isu Semasa berkaitan Undi18 dan tanggungjawab warganegara di politeknik, kolej komuniti dan Tingkatan Enam di seluruh Johor.

Beliau berkata selain program, bahan sokongan yang menekankan mengenai kenegaraan juga telah disedia dan sedang diguna pakai di sekolah menengah dan tingkatan Enam berbentuk modul pembelajaran seperti Buku Modul Pengajian Am dan Modul Sejarah.

“Kandungan bahan akademik ini mendedahkan pelajar kepada pengetahuan politik berkaitan struktur pemerintahan negara, demokrasi berparlimen dan negara bangsa,” katanya.

Norlizah turut memaklumkan Kementerian Pendidikan juga telah mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan bertujuan menyuburkan sifat sayang kepada negara, jati diri dan sifat patriotisme.

“Selain itu, pelajar juga diterap kesedaran tentang warisan, tanggungjawab terhadap diri, orang lain, komuniti dan masyarakat serta sikap hormat terhadap budaya dan masyarakat lain di Malaysia,” katanya.- BERNAMA