Sivaraj Akur Beri Laluan Kepada PH Di Parlimen Padang Serai

KULIM, 3 Dis – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivaraj akur dengan keputusan BN untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Sivaraj dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu perlu diterima memandangkan kepentingan parti perlu didahulukan berbanding kepentingan lain.

“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada jentera dan rakan media yang membantu perjuangan saya di sini, bukan dalam tempoh berkempen ini sahaja tapi sejak hari pertama saya mula berkhidmat di sini tiga tahun lalu.

“Selain itu, saya juga ingin menyatakan penghargaan saya terhadap kepimpinan tertinggi BN di atas peluang dan ruang yang telah diberikan kepada saya selama tempoh tiga tahun ini di Parlimen Padang Serai,” katanya.

Justeru, beliau mengambil keputusan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Padang Serai dengan memberi bantuan terhadap masalah asas yang dihadapi mereka walaupun tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang lebih besar.

Sivaraj turut memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan agar isu yang telah diketengahkan melalui manifesto beliau, iaitu ‘5 Tekad untuk Padang Serai’ diberi perhatian yang sewajarnya.

“Parlimen Padang Serai jauh ketinggalan di belakang dalam segenap aspek. Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan,” katanya.

Dalam pada itu, calon PH Dr Mohamad Sofee Razak turut menyambut baik keputusan BN untuk memberi laluan kepada beliau dalam PRU15 Parlimen Padang Serai dan melihat langkah BN itu sebagai titik permulaan kejayaan konsep Kerajaan Perpaduan di Kedah.

“Saya sangat berterima kasih dan menghormati keputusan dibuat BN. Ini adalah semangat perpaduan yang sangat baik. Alhamdulillah, kita telah berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan masih belum ‘bertentang mata’ dengan Sivaraj berhubung keputusan tersebut dan hanya akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa MIC Parlimen Padang Serai petang ini.

Berbaki kurang empat hari sebelum hari mengundi, beliau berkata antara tugas utama jentera parti ketika ini adalah untuk memaklumkan kepada semua pengundi BN di Padang Serai untuk memberi undian kepada PH.

“Sebab di dalam kertas undi tetap ada nama calon BN dan juga Warisan, jadi kami serah kepada pimpinan BN untuk maklumkan dan meyakinkan anggota dan penyokong mereka untuk memberi undi kepada PH pada 7 Dis ini.

“Kami kena turun berjumpa masyarakat pengundi untuk maklumkan perkara ini sebab mungkin orang muda dan yang ada akses kepada media sosial tiada masalah (untuk mendapatkan maklumat), tapi bagi masyarakat pedalaman memang kami kena turun.

“Sekarang dalam kempen kami kena bagi tahu bahawa PH dan BN sudah bersama sebagai satu kerajaan dan kami akan bergerak bersama-sama selepas ini,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan BN bersetuju untuk memberi laluan kepada calon PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai.

Selain Mohamad Sofee dan Sivaraj, kerusi Parlimen Padang Serai turut menjadi rebutan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Warisan sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pertandingan itu namun nama calonnya kekal tertera dalam kertas undi kawasan berkenaan. – BERNAMA