“Kita Tidak Mungkin Bangkit Kembali Jika Disiplin Parti, Disiplin Berorganisasi Tidak Dipatuhi”

KALAU nak ikutkan, yang paling marah dalam kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) ni adalah pemimpin, ahli dan pengundi PH. Bertahun lamanya mereka laungkan BN penyamun, kaki rasuah, yang terbaru sakau siap ada lagu hoi hoi ya hoi lagi.

Bagi pemimpin PH, yang paling mustahak adalah meneruskan agenda mereka, tak kira agenda reform atau agenda peribadi. Yang penting, agenda dapat dilaksanakan apabila sudah berkuasa. Bagi pengundi, yang utama adalah yang terbaik untuk mereka. Bagi ahli PH pula, ikut sahaja kata pemimpin.

Semua tahu, dalam Pas ada kem Perikatan Nasional (PN) dan kem Muafakat Nasional (MN), tapi mendepani pilihan raya hanya ada kem Pas. Dalam PH, ada kem Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kem Rafizi (Rafizi Ramli), tapi dalam pilihan raya hanya ada kem PH sahaja. UMNO pula lain ceritanya. Bukan sahaja dua kem, malah ada kem dalam kem.

Ramai yang salahkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi punca kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan kes-kes mahkamah beliau. Tapi suara-suara itu hanya muncul setelah kita tewas. Mengapa tidak lebih awal? Kerana diawalnya tidak ada satu data yang menunjukkan kita akan kalah teruk. Semua yakin, malah kita yakin boleh tubuh kerajaan secara solo.

Jika ada mana-mana pemimpin di mana-mana peringkat yang tahu Zahid akan menjadi punca kekalahan sebelum PRU15, orang itu seharusnya bertanggungjawab kerana gagal bersuara.

Kerana yang bersuara sebelum PRU15 hanyalah sorakan sokongan padu kepada Presiden termasuk dalam kesemua perhimpunan khas yang menuntut parlimen dibubarkan segera. Masih segar di ingatan saya paluan gendang adik-adik mahasiswa dan sorakan Pemuda-Pemuda BN ketika Presiden melancarkan Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa. Dan ironinya sebahagian besar daripada mereka hari ini menuntut Presiden meletakkan jawatan.

Mereka ini bercakap soal collective responsibility. Kalau collective, maka setiap dari kita perlu meletakkan jawatan. Pimpinan-pimpinan dari mahasiswa kepada Pemuda termasuk saya perlu meletakkan jawatan kerana kita gagal menarik undi orang muda.

Kalau ditanya siapa yang lebih bertanggungjawab, saya kira mereka yang diamanahkan untuk menarik pengundi barulah yang perlu bertanggung jawab. Pimpinan-pimpinan di Bahagian juga perlu bertanggungjawab, dan pimpinan di pusat termasuk semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT) turut bertangungjawab.

Maka, secara kolektif, kita semua patut berundur. Mengapa hanya Presiden seorang?

Sebab Presiden menjadi punca? Daripada mana data yang mengatakan Presiden adalah punca tunggal? Ya, mungkin salah satu punca, tapi bukan satu-satunya dan bukan juga punca utama.

Kajian awal mendapati faktor pengaruh TikTok yang diguna hebat oleh PN dan perbelanjaan besar adalah faktor kemenangan PN. Sebab itu, undi memihak kepada PN, tidak PH. BN dan PH masing-masing mengekalkan jumlah undi yang sama ketika PRU14, tetapi tsunami pengundi baru berpihak kepada PN.

Selain daripada faktor di atas, pada hemat saya, kita tewas pada PRU14 dan diulangi pada PRU15 kerana kita berantakan secara berterusan. Bukan sahaja antara kem di atas, malah di bawah.

PH masuk bertanding dengan calon Perdana Menteri seorang bekas bantuan, didakwa atas tuduhan rasuah dan salah laku seks. PN dengan calon PM yang punya pelbagai skandal dan kegagalan. Tetapi keduanya tidak ditekan dan diasak parti sendiri. Masing-masing kekal pertahankan Presiden dengan kepercayaan Presiden mereka suci.

Belum pernah berlaku dalam sejarah politik dunia, calon membalun Presiden parti ketika berkempen pilihan raya. Hanya berlaku dalam UMNO sahaja.

Itu belum dikira di setiap bahagian berantakan berkaitan isu calon, isu duit dan macam-macam lagi. Sampaikan calon tak singgah pun boleh merajuk. Semua itu formula menempa kekalahan. Sehingga ke detik ini, walau kerajaan sudah dibentuk, masih ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang secara berterusan menyerang parti.

Bila Pas dan PH kalah teruk, tidak ada seorang pun yang desak Presiden berundur. Tetapi kita, tanah masih merah kita sudah desak dan asak Presiden untuk berundur. Keterujaan kita untuk membuang Presiden tak boleh ditunggu lagi, sedangkan tempohnya kurang dari enam bulan sahaja untuk pemilihan parti diadakan, dan ruang demokrasi memilih Presiden dibuka seluas-luasnya.

Secara kesimpulannya,

Bila PH kerjasama dengan penyamun, orang PH relax tapi UMNO serang UMNO.

Bila Pengerusi PN dan PH dituduh salah laku, mereka relax tapi UMNO serang UMNO.

Bila kempen pilihan raya, PN dan PH serang UMNO, UMNO serang UMNO.

Bila kalah, PH dan PN relax, tapi UMNO serang UMNO.

Dan UMNO terus bercakap soal mahu menang pilihan raya.

UMNO masih belum belajar dari kesilapan lampau. Kita tidak mungkin bangkit kembali sekiranya disiplin parti dan disiplin berorganisasi tidak dipatuhi.

Kunci utamanya adalah DISIPLIN. Lepas tu baru boleh bercakap soal strategi.

Ini bukan soal Zahid Hamidi, ini soal institusi yang perlu dihormati, dan disiplin yang perlu dipatuhi. – UMNO ONLINE

Shafiq Fhadly
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.