Setia Bersama UMNO Dan Institusi Presiden Demi Pengukuhan Parti

 

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Waris PEKEMBAR hari ini menyeru ahli UMNO untuk terus mendukung institusi Presiden di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke arah survival parti.

Timbalan Presidennya, Datuk Zein Isma Ismail berkata kesepaduan pada ketika ini sangat penting bagi membangkitkan kembali pengukuhan yang selama ini menjadi tunjang dan kekuatan parti.

“Memperkasa UMNO dengan meletakkan institusi Presiden mantap, padu dan kuat. Maka dengan itu kita menyeru rakan-rakan pimpinan di bahagian, cawangan dan ahli UMNO akar umbi untuk bersama parti dan presiden bagi mengorak langkah yang akan datang.

“Janganlah kita berpecah-belah, yang telah terlanjur itu baliklah ke pangkal jalan tetapi kepada mereka yang degil dan merasakan bahawa kesalahan ini hendak ditumpukan kepada Zahid itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Solidariti Mempertahankan Institusi Presiden UMNO Malaysia yang diadakan di Lobi Menara Dato’ Onn, pagi tadi.

Zein pada masa sama berkata menuju pemilihan parti yang bakal diadakan kelak, ahli UMNO perlu rasional dalam memilih pemimpin yang tekad dalam membawa perjuangan UMNO.

“Kita minta pemilihan akan datang ahli parti untuk menilai pemimpin anda kerana kita boleh bangkit untuk membersihkan UMNO bukan tanggungjawab seorang namun semua ahli UMNO

“Maka apabila UMNO bersih, tulen dan suci seperti saya ungkapkan tadi Waris PEKEMBAR mencari pemimpin yang menjadikan perjuangan ini sebagai fisabilillah,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan pelantikan Perdana Menteri serta kerajaan perpaduan, beliau berkata rakyat perlu memahami bahawa kerajaan yang terbentuk ini adalah cadangan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“UMNO telah menggorak langkah yang sungguh bijak dengan ditakdirkan oleh Allah atas kebijakanaan Agong telah membina satu kerajaan perpaduan.

“Ini rakyat kena jelas, cukuplah rakyat untuk memandang serong kepada UMNO kerana ianya adalah perbuatan fitnah yang terjadi selama ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.