MKT UMNO Junjung Titah Agong, Sokong Kerajaan Perpaduan Dibentuk

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat MKT yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, malam tadi.

Katanya, MKT juga mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia.”

Dalam kenyataan yang sama, dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022.

Terdahulu, keputusan PRU15 yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Lantaran itu, kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 masih berlanjutan ekoran tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan. – UMNO Online

KM 23 NOV 2022

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.