Mashitah Terima Pelbagai Keluhan Rakyat, Penyandang Parlimen Abai Keperluan Asas

KUALA KEDAH, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim memaklumkan sepanjang berkempen beliau menerima pelbagai rungutan daripada masyarakat setempat berkenaan hak mereka yang dinafikan.

Katanya, ini kerana kemudahan asas dan infrastruktur tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada penyandang di kawasan ini.

“Rakyat yang saya temui bercerita betapa mereka ini berasa terseksa sudah 15 tahun, saya baru berjumpa dengan sekumpulan remaja yang bermain sepak takraw sampai tidak ada tempat padahal mereka bermain di tepi pejabat ahli Parlimen tapi langsung tidak diberi perhatian.

“Tidak perlu cakap pasal pembangunan kerana infrastruktur pun tidak terjaga padahal ini adalah perkara asas kerana sudah tiga penggal di bawah Pakatan Harapan (PH) masalah air tidak selesai, banjir, kemiskinan tidak ada sebarang pembangunan dibuat,” katanya.

Dengan itu beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) ini menjadi platform terbaik untuk rakyat memilih BN bagi membawa perubahan di Kuala Kedah.

Katanya, ini kerana kawasan Kuala Kedah mempunyai tempat pelancongan yang berpotensi untuk diperkembangan sekiranya ia diurus dengan baik.

“Saya rasa kita kena menyusun secara teratur agar transformasi itu menyeluruh dan terlalu banyak aset-aset yang tidak dibangunkan

“Kita ada Gunung Keriang, Muzium Padi, Terminal Jeti Kuala Kedah yang semua ini boleh menjadi suatu hub pelancongan belum lagi bercakap berkenaan produk-produk kepada rakyat setempat.

“Kalau betul-betul dilakukan akan menjadi tarikan yang sangat hebat kepada masyarakat di sini, masalah yang diketengahkan peniaga-peniaga kecil adalah tiada orang datang membeli macam mana ekonomi hendak membangun.

“Macam mana mana orang hendak datang kalau tiada tarikan, itu yang BN janjikan untuk membuat kepada kestabilan dan kemakmuran

“Beri mandat kepada BN pada kali ini kami bukan cakap sebarang cakap kami mahukan satu perubahan iaitu satu transformasi menyeluruh,” ujar beliau.

Untuk rekod Mashitah pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang dan Warisan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.