Pilih BN Demi Kestabilan Dan Kemakmuran, Tolak Parti Lain – Ahmad Said

KEMAMAN, 11 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berharap rakyat di Terengganu dan Parlimen Kemaman mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Katanya, semenjak BN tewas pada pilihan raya lalu rakyat semakin sedar bahawa hanya BN yang mampu beri kestabilan untuk rakyat. 

“Parlimen Kemaman asalnya kubu kuat UMNO/BN dan sekarang ini rakyat sudah sedar seterusnya mereka akan kembali ke pangkuan UMNO. Hanya UMNO/BN mampu memberikan kemudahan-kemudahan untuk mereka.

“Rekod telah membuktikan bahawa PH gagal mentadbir negara 22 bulan, PN hanya 17 bulan, itu pun tidak berjaya mentadbir negara dan akhirnya rakyat kembali ke pangkuan BN.

“Sepanjang mereka mentadbir negara kebajikan rakyat tidak terjaga termasuk juga rakyat di Terengganu ini,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kemaman berkata Kemaman merupakan kawasan-kawasan industri maka pelabur perlu melabur di sini.

“Saya telah berjumpa tiga syarikat besi yang akan melabur di Kemaman dan harap pelabur terus melabur di sini.

“Sebab itu saya mendirikan jambatan di Kemaman ini tinggi supaya kapal yang membawa besi ini dapat memudahkan ia berlabuh di sini. Saya telah mencadangkan jalan raya yang lebar tetapi apabila tukar pentadbiran negeri mereka tidak melakukan perubahan di kawasan ini.

“Tujuan membuat jalan raya yang lebar itu untuk mengelakkan kesesakan di kawasan pelabuhan dan industri. Malah ianya tidak membuat terusan dan sekiranya banjir di kawasan tersebut,” ujarnya.

Tegasnya, cadangan itu ibarat tembak satu peluru, dua peluru dapat.

Dalam masa yang sama Ahmad merasa kecewa kerana pemerintahan kerajaan negeri yang tidak membantu keresahan nelayan di Kuala Kerteh.

Tegasnya lagi, bantuan subsidi amat dihargai oleh nelayan kerana ia dapat meringankan beban golongan itu jika tidak dapat turun ke laut disebabkan cuaca buruk.

“Saya mendapat keluh kesah dari nelayan di Kuala Kerteh dan ramai nelayan yang tidak berpuas hati dengan bantuan sara hidup kerana pihak kerajaan negeri tidak membantu.

“Bantuan nelayan ini telah diperkenalkan semenjak BN mentadbir negara tetapi semenjak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bantuan ini telah dihentikan.

“Dalam bajet baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kembali tetapi tidak menyeluruh dan ada nama-nama yang tertinggal. Harap selepas ini membuat kajian semula agar nama semua nelayan disenaraikan sebagai bantuan sara hidup,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.