Peruntukan RM508.02 Juta Program Pembangunan Semula Getah

LIPIS, 8 Okt. – Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) memperuntukkan RM 508.02 juta bagi melaksanakan program-program pembangunan penanaman semula getah yang dirangka di seluruh negara yang melibatkan Program Tanam Semula Getah, Program Produktiviti Dan Pemasaran, Program Hasil Baharu serta Program Keusahawanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau percaya hasil daripada peningkatan subsidi bantuan penanaman semula getah kepada RM13,710 sehektar berbanding nilai RM9,230 sebelum ini untuk Semenanjung Malaysia telah memberi manfaat dan impak yang amat besar kepada semua pekebun kecil.

RISDA Negeri Pahang telah berjaya melaksanakan penanaman semula getah seluas 15,813 hektar daripada matlamat sebanyak 16,596 hektar.

“Saya yakin matlamat tersebut dapat dicapai pada tahun ini demi kemakmuran komuniti pekebun kecil Pahang dan Lipis yang dikasihi.

“Untuk pengetahuan semua, tanaman getah merupakan satu-satunya tanaman yang mash diberi bantuan penuh oleh pihak kerajaan sehingga kini. Ini tidak termasuk lagi dengan bantuan-bantuan peningkatan ekonomi yang diterima oleh pekebun kecil saban tahun.

“Kerajaan sedar, setiap tahun pekebun kecil mengalami masalah produktiviti rendah akibat keadaan cuaca, kekurangan tenaga kerja dan kestabilan harga pasaran. Namun, dengan wujudnya pelbagai inisiatif serta program bantuan kerajaan, KPLB dan RISDA sentiasa berusaha sedaya upaya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur di Lipis hari ini.

Program melibatkan seramai lebih kurang 600 orang kelompok pekebun kecil dan pemimpin setempat dalam usaha RISDA dalam usaha merapatkan lagi hubungan pekebun kecil dengan pihak RISDA.

Dalam Majlis yang sama Dato’ Sri Abdul Rahman juga menyampaikan sumbangan untuk produktiviti RISDA Dun Benta, Pembangunan Usahawan Dun Benta, dan Penyampaian Bantuan Kg Pengembangan.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak RISDA ini adalah untuk memperbaiki taraf sosioekonomi pekebun kecil yang dirangka bagi mencapai objektif RISDA, agar pekebun kecil dapat meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.