Pelancaran Pelan Amal dan Usaha (PADU) #1 : Revolusi Pendidikan

1. Barisan Nasional telah membentangkan pelan 5 tahun yang akan menjadi panduan dan tawaran dalam menguruskan Malaysia yang dikenali sebagai Perancangan Amal dan Usaha (PADU).

2. PADU menggariskan 99 perkara yang akan menjadi panduan amalan dan usaha Kerajaan Barisan Nasional. Di dalamnya terdapat rangkaian inisiatif yang boleh dirangkumkan seperti berikut.

3. Pertamanya, PADU adalah pelan yang memberi perhatian / fokus besar kepada pendidikan di semua peringkat.

4. Di peringkat awal, PADU menawarkan program asuhan dan pendidikan nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah.

5. Ini bermakna, ibu bapa atau pasangan muda sudah tidak perlu gelisah dan berasa tertekan dengan tekanan kos sara hidup dan kesukaran memberikan pendidikan awal yang baik.

6. Selain meringankan kos sara hidup, perubahan sistem yang radikal ini akan turut membawa kesan positif lain yang besar.

7. Misalnya, membolehkan lebih ramai wanita untuk terlibat atau kembali ke alam pekerjaan dengan lebih tenang dan seleas. Tambahan pula, wanita yang kembali ke alam pekerjaan selepas ini, setelah berehat dari kerjaya, akan menerima kelebihan dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pendapatan (0%) selama 5 tahun.

8. Di peringkat sekolah pula, revolusi besar-besaran yang BN tawarkan melalui PADU adalah sistem persekolahan tanpa buku teks. Ini adalah satu lagi perubahan radikal.

9. Saya akui, untuk menjayakan perkara ini bukan mudah. Setahun dua, pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Malah, kita boleh menjangkakan, proses mengagihkan laptop kepada semua pelajar B40 yang memerlukan kelak akan mengambil masa. Malah, untuk menjayakan inisiatif ini, komitmen BN untuk memastikan semua sekolah menerima 100% liputan 5G dalam masa 18 bulan mesti disempurnakan tanpa kompromi.

10. BN percaya, biar sesukar mana pun revolusi ini, kita mesti berani mengambil langkah mula. Kita akan tersadung. Kita akan tergelincir. Malah, kita akan disindir-sindir.

11. Tetapi, alah bisa tegal biasa. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Lama-kelamaan sistem ini pasti akan menjadi lebih baik dan semakin mantap.

12. Bayangkan, sistem persekolahan Malaysia tidak perlu lagi dibelenggu isu beg sekolah berat yang berat, kos mencetak buku teks yang tinggi dan pelbagai lagi. Sukatan dan kandungan pembelajaran juga boleh disemak dan dikemaskini selalu dengan mudah dan murah.

13. Pada masa yang sama, pelajar-pelajar sekolah akan mula didedahkan dengan asas komunikasi menggunakan bahasa-bahasa yang ada di Malaysia.

14. Anak-anak Malaysia, dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang akan boleh bertutur dan memahami secara asas Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa etnik besar yang lain.

15. Semua ini bukan sahaja akan menjadikan pelapis masa depan kita sebagai generasi ‘polyglot’, yakni mereka yang fasih bertutur banyak bahasa, malah mampu merapatkan hubungan antara kaum yang menjadi tiang seri masyarakat majmuk seperti Malaysia.

16. Di peringkat universiti, semua anak-anak siswa dari keluarga B40 akan mendapat pendidikan percuma. Mereka akan menjadi generasi penamat kemiskinan dan duta keluarga yang bakal mengubah nasib dan takdir hidup melalui ilmu dan segulung ijazah.

17. Malah, berbeza dengan pendirian PH khususnya MUDA yang mahu mahasiswa keluar dari universiti secepat mungkin (sehingga menentang pembelajaran subjek agama / kenegaraan kerana dianggap tidak penting dan membuang masa), BN sebaliknya akan mempromosikan pengambilan tahun senggang (gap year) oleh para pelajar universiti.

18. Tahun senggang ini boleh digunakan untuk memenuhi minat dan keperluan peribadi serta dimanfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat.

19. Kita mahu pengalaman di menara gading menjadi sesuatu yang bermakna dan mendewasakan mereka. Universiti tidak lagi menjadi kilang melahirkan robot yang mahu disumbat ke alam pekerjaan tanpa kematangan pemikiran dan kekayaan pengalaman hidup.

20. Marilah kita bersama-sama menjayakan revolusi pendidikan ini. Mendidik anak bangsa dan membudayakan ilmu bukan tugas yang mudah dan murah. Kami nekad melakukan perubahan dan revolusi tersebut. Saya jemput semua untuk bersama-sama dengan BN menjayakan idea besar ini.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.