Temerloh Banyak Ketinggalan… Suara Wakil Rakyat Daripada UMNO/BN Diperlukan – Mohd Sharkar


KUALA LUMPUR, 3 Nov – Selama dua penggal ditadbir oleh wakil rakyat daripada pembangkang, Temerloh dilihat banyak ketinggalan dari pelbagai aspek yang melibatkan peringkat persekutuan.

Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Temerloh untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bagi membawa hasrat rakyat di kawasan tersebut maka suara wakil rakyat daripada UMNO/BN perlu ada di parlimen.

“Selama dua penggal kita diwakili pembangkang, sebenarnya banyak perkara melibatkan peringkat persekutuan ketinggalan terutama sekali sebagai contoh perjuangan untuk mendapatkan IPTA.

“Begitu juga dengan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain yang kita rasakan bahawa perlu untuk kita mempunyai suara semula di parlimen bagi kita membawa hasrat rakyat Temerloh,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN kerana telah memberikan kepercayaan untuk menjadi calon di kerusi Parlimen Temerloh.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon di kerusi P088, Temerloh.

“Insya-Allah saya akan cuba sedaya-upaya untuk memberikan satu kerusi kepada UMNO/BN di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya lagi.

Menurut Mohd Sharkar, gerak kerja untuk menyantuni para pengundi di kawasan tersebut telah bermula sejak UMNO/BN kalah pada PRU ke-14 dan beliau yakin para pengundi akan membuat pilihan yang terbaik.

“Kita telah pun menjalankan dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita sejak kita kalah pada PRU ke-14. Jadi, kita yakin dan percaya bahawa pengundi di Temerloh akan dapat menilai sebenarnya calon mana yang akan mereka pilih.

“Kepada para pengundi khususnya di Temerloh, berilah peluang kali ini kepada UMNO/BN. Sebelum ini, wakil rakyat kita daripada Pas dan sekarang ini Pakatan Harapan (PH) atau PAN. Kali ini kita cuba pula UMNO/BN. Insya-Allah,” katanya lagi.

Pada PRU ke-14 yang lalu, Mohd Sharkar tewas kepada calon daripada PKR, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir dengan majoriti sebanyak 1,904 undi.

Pada PRU ke-15 ini, Mohd Sharkar mempertaruhkan nasibnya sekali lagi untuk kerusi Parlimen Temerloh dan beliau dijangka bakal berdepan dengan calon PAN, Mohd Hasbie Muda; calon Pas, Salamiah Mohd Nor serta calon daripada Gerakan Tanah Air (GTA) yang belum dinamakan lagi akibat berlaku pergeseran dalaman. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.