PRU15: Shahanim Tekad Bawa Pembangunan, Pendidikan Di Sungai Petani


KUALA LUMPUR, 3 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff bertekad untuk membawa pembangunan dan pendidikan ke kawasan tersebut sekiranya beliau dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Jelasnya, meskipun Parlimen Sungai Petani telah dipimpin oleh ahli politik daripada PKR selama 15 tahun namuntiada satu pun pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Saya ada 16 ikrar sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat antaranya ialah membawa pembangunan dan pendidikan kerana selama 15 tahun ini kita tiada satu pun universiti, MRSM… kita tiada apa-apa.

“Jadi, saya nak bawa pembangunan serta pendidikan ke Sungai Petani dan visi saya sendiri di Sungai Petani adalah untuk memberi khidmat serta bakti yang terbaik untuk warga Sungai Petani,” katanya kepada UMNO Online selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani turut melahirkan rasa syukur kerana dipilih untuk menjadi calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Pertamanya bersyukur, namun ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar untuk berkhidmat sekiranya menang. Insya-Allah kami akan berjuang dalam masa 18 hari ini bagi memberi kemenangan sekurang-kurangnya satu kerusi kepada UMNO/BN.

“Keduanya, satu amanah yang sangat berat apabila telah dibuat baiah rasuah. Kita sebagai pemimpin UMNO pun tolak rasuah. Kita pun nak jadi pemimpin yang beriman, berintegriti, bertanggungjawab serta tidak mahu makan duit rakyat. Kita nak jaga rakyat sehabis baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahanim turut berpesan kepada pengundi agar tidak ditipu buat kali yang keempat dan memilih UMNO/BN untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

“Pesanan kepada pengundi, sudah 15 tahun kita dipimpin oleh YB daripada PKR, saya harap untuk penggal ke-4 ini jangan kita ditipu buat kali yang keempat. Orang yang paling bodoh adalah orang yang sudah jatuh ke dalam longkang atau lubang tetapi dia mengulangi perbuatan tersebut.

“Jadi, bawa kesedaran serta keinsafan, kita ubah Sungai Petani. Bangun semula gagah, beri perubahan serta peluang kepada UMNO/BN. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik dalam menjaga serta memberi khidmat bakti kepada warga Sungai Petani,” katanya lagi.

Selama 15 tahun kerusi Parlimen Sungai Petani disandang oleh pemimpin dari parti PKR, Datuk Johari Abdul, tidak ada satu pun pembangunan dari segi infrastruktur serta pendidikan yang berjaya dibina.

Pada PRU kali ini, Johari digugurkan daripada bertanding di kawasan tersebut namun posisi tersebut digantikan oleh anaknya sendiri, Dr Mohamed Taufiq Johari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.