Kerajaan BN Tidak Retorik, Komited Majukan Johor 2030 – Onn Hafiz

 

ISKANDAR PUTERI, 3 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri yang diterajui kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak beretorik dalam melaksanakan kerja tadbir urus bagi memperkembang ekonomi negeri ini.

Katanya ini terbukti kerana setelah berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang stabil pelbagai pencapaian telah direkod terutama apabila Johor mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di negara ini.

“Kerajaan negeri bukan kerajaan retorik kerana apa yang kita janji itulah yang akan dikotakan. ‘Ikhtiar BN Johor’ yang telah diilhamkan oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad adalah selari untuk kita majukan negeri yang kita sayangi ini menjelang tahun 2030.

“Pada saat ini hanya dalam tempoh tujuh bulan daripada manifesto yang telah diumumkan kita berjaya selesaikan 13 ikhtiar, pelaksanaan 28 manakala dalam perancangan 25 perkara.

“Antara perkara yang telah selesai di bawah BN Johor ialah supaya negeri ini menjadi Lembah Digital Selatan. Sukacita saya laporkan bahawa dalam tempoh setengah tahun mentadbir kita telah merekodkan angka pelaburan sebanyak RM60.9 bilion iaitu nilai pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara.

“Dari segi pelabur-pelabur Amerika Syarikat, China, Singapura, Eropah semua katakan berminat melabur di Johor kerana kita punya political stability,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera dan Manifesto BN Negeri Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Educity, Iskandar Puteri malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN selaku Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan kepimpinan lain.

Onn Hafiz juga berkata banyak lagi agenda perancangan yang telah dirangka termasuk oleh kerajaan Persekutuan seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Oktober lalu.

“… untuk majukan Johor itu tidak cukup kerana bajet terhad jadi suka atau tidak kita perlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan, nak ke tidak Lebuhraya Utara-Selatan daripada Yong Peng-Johor Bahru dilebarkan daripada empat menjadi enam lorong, juga Lebuhraya Senai-Johor Bahru, Pengerang dijadikan Special Economic Zone untuk bangunkan ekonomi Johor.

“Sebenarnya perkara ini telah diumumkan Menteri Kewangan dalam ucapan bajet, malangnya dia umum Jumaat tapi Isnin dah bubar tapi jangan risau ini sebenarnya membakar semangat jentera BN Johor untuk kita terus menangkan Parlimen,” ujar beliau.

Beliau juga meluahkan kepercayaan bahawa rakyat sudah semestinya tidak mahu lagi hidup dalam keperitan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan kekalahan BN buat pertama kali dalam sejarah negara.

“Saya percaya semua yang berada di dewan ini serik dengan apa yg berlaku pada 2018 rakyat ramai yang tertipu, harapkan pagar tapi dimakannya padi dijanjikan bulan bintang akhirnya Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang sepatutnya menjadi pemangkin pembangunan negeri mereka batalkan begitu sahaja.

“Jadi PRU15 ini kita rapatkan saf, bergerak sebagai satu pasukan berjuang habis-habisan di 26 parlimen dan pastikan kemenangan BN,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.