Cabar Isu Ketuanan Melayu: Lim Kit Siang Disaran Berehat Dari Dunia Politik

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Anuar Yunus menyarankan agar veteran Dap, Lim Kit Siang berhenti dan berehat daripada dunia politik kerana kerap kali mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman secara berterusan.

Merujuk kepada kenyataan ahli politik veteran itu yang mengatakan bahawa Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu sekiranya mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia, Kit Siang dianggap tidak ‘sedar diri’ dan lebih baik bersara dari arena politik.

“Lim Kit Siang ni, apa yang dia tak kata? Dia janji bulan dan bintang, bercakap sesuka hati. Jadi, saya ingat pengundi sendiri pun dah tahu siapa beliau.

“Beliau ni sepatutnya dah lama berhenti. Orang yang sebaya dengan dia dalam politik boleh dikatakan semua dah berhenti tetapi Lim Kit Siang masih tidak menyedarkan dirinya.

“Apa yang dia tak pernah kata kepada kita? Jadi, itu pesan saya kepada Lim Kit Siang. Lebih baik dia berehat,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Selasa.

Terdahulu dilaporkan, Kit Siang dipetik berkata Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia kerana konsep Ketuanan Melayu cuma penyamaran kepada ‘Umnoputra’ yang didakwanya menjadi kaya-raya ketika golongan bumiputera sebenar miskin dan tertinggal.

Kit Siang dilapor mengeluarkan kenyataan terbabit dalam acara pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) di Papar, Sabah, pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Anuar melihat kategori calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN) ini sudah semestinya dapat menepati citarasa serta selera pada pengundi di seluruh negara.

“Saya tengok UMNO telah pun menjalani proses yang mengikut lunas pemilihan calon melalui banyak aspek serta kategori termasuklah meletakkan orang baharu, orang lama dan ianya sudah pasti dapat memenuhi citarasa pengundi di seluruh tanah air.

“Lagipun kalau kita lihat dari segi tapisan dibuat bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai lapisan perlu disaring sehingga akhirnya malam ini kita mengetahui siapa calon diketengahkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin dengan calon yang diketengahkan akan memberikan kemenangan cemerlang kepada UMNO/BN dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya amat yakin dengan kebolehan para calon yang diketengahkan. Insya-Allah UMNO/BN akan memperoleh kemenangan cemerlang dalam PRU ke-15 kelak.

“Pesanan saya untuk calon, buatlah kerja bersungguh-sungguh dan dengan seikhlas hati. Jangan buang masa, jumpa para pengundi dan akar umbi tanpa mengira lapisan masyarakat.

“Jangan lupa untuk dekati anak muda, berikan keyakinan kepada mereka bahawa UMNO/BN adalah parti yang selayaknya disokong,” katanya lagi.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian (19 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.