BN Ajak Rakyat Pulihkan Negara, Pihak Lawan Tak Habis-habis Tabur Fitnah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semasa Barisan Nasional (BN) berusaha mengajak rakyat untuk bersama memulihkan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pihak lawan tidak habis-habis menabur fitnah dan tipu daya sebagai bahan ‘kempen’.

Tegasnya yang juga Pengerusi BN, parti ini berusaha menyatakan kebenaran, sebaliknya mereka pula gigih menyebarkan ‘surat aku janji’ palsu yang kononnya perlu ditandatangani oleh calon UMNO.

“Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka. Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan `membelai’ yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka.

“Sebab itu kita percaya lawan BN sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Cemas kerana `overthinking’ selepas apa mereka lakukan. Bimbang `what you give you get back’,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya, hari ini

Selari dengan itu, beliau menggesa agar hentikanlah politik menipu dan merapu seperti ini.

“Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini. Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka `membaca’ pembohongan itu.

“Fitnah terbaru lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula.”

Gesanya, jangan benarkan Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan kerana hampir pasti rakyat juga akan sekali lagi difitnah dan dibohongi.

“Seperti mana rakyat Malaysia difitnah pemalas dan cemburu kepada orang kaya. Seperti mana rakyat dibohongi dengan pelbagai janji-janji manis pada PRU14.

“Yakini BN dan undi BN demi Malaysia memperoleh semula sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat serta membawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

Semalam, tular surat palsu membabitkan UMNO yang mengaitkan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah didakwa menandatangani ‘surat aku janji’.
Kandungan surat aku janji tersebut mensyaratkan calon memberi jawatan kabinet utama kepada wakil BN dan UMNO sebagaimana diarahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain calon juga perlu bersetuju menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.