Surat Aku Janji Palsu Tular Kaitkan Gugur kes Mahkamah Pemimpin UMNO

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tular lagi surat palsu membabitkan UMNO.

Kali ini mengaitkan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang didakwa menandatangani ‘surat aku janji’ seperti yang tersebar dalam media sosial sejak petang tadi.

Menerusi surat aku janji tersebut kononnya ditandatangani sebagai calon BN bagi PRU15 yang antara lain, kandungan surat itu mensyaratkan calon memberi jawatan kabinet utama kepada wakil BN dan UMNO sebagaimana diarahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, calon juga perlu bersetuju menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN

Berikutan itu, Shamsul Anuar yang juga calon Parlimen Lenggong menafikannya menerusi laman Facebooknya dan menegaskan surat aku janji tersebut palsu.

“Tiada sebarang aku janji sebegini dilakukan.

“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika musim PRU15 ini.

“Mohon rakyat Malaysia yang mendapat aku janji palsu ini tidak terpengaruh dengannya.

“Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” katanya

Berikut antara kandungan surat palsu tersebut:

• Memberikan jawatan Kabinet yang utama kepada wakil UMNO dan BN seperti yang diarahkan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

• Memberikan jawatan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada wakil UMNO dan BN seperti yang diarahkan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

• Menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN, hendaklah diselesaikan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15.

• Menggugurkan semua siasatan yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.