PRU15 Peluang Terbaik Setelah Ekonomi Negara Jadi ‘Mangsa’ Pergelutan Politik – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Setiausaha UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menjadikan rakyat sebagai mangsa dalam pergelutan politik negara.

Sehubungan itu katanya, PRU15 adalah ruang terbaik kepada rakyat selepas melalui pengajaran kerana dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah menimbulkan kekacauan pelbagai termasuk ekonomi dan perpaduan rakyat.

“Sudah tentu kita ingin rakyat bersama dengan kita kerana apa yang terjadi 22 bulan membuka mata bagaimana kegagalan termasuk keruntuhan ekonomi, perpaduan dicela dengan begitu teruk, tiang-tiang yang mewujudkan satu negara bangsa telah dirosakkan oleh PH.

“Pelbagai dasar dan polisi menyinggung perasaan buat setakat orang Melayu tetapi juga hati dan perasaan rakyat Malaysia,” katanya.

Jelas beliau begitu jua era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang gagal menangani krisis pandemik COVID-19 apabila melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa kali.

“Selepas kita bertukar kerajaan PH yang ditumbangkan oleh mereka, beralih kepada 17 bulan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah PN.

“Rakyat merana dengan keadaan yang dikongkong begitu ketat dijadikan PKP, pelaksanaan darurat dan macam-macam kita sudah nampak kekusutan politik malah rakyat sendiri melihat dan menilai.

“… yang jadi ‘king maker’ PN ketika itu adalah UMNO/BN sebabkan pada permulaannya UMNO/BN inginkan supaya diadakan PRU segera yang mungkin tetapi disebabkan pandemik COVID-19 dan juga ketidak tentuan ekonomi ketika itu jadi kita terpaksa untuk memastikan rakyat tidak menjadi mangsa perebutan kuasa politik” ujar beliau.

Dengan itu, menurut Gulam rakyat perlu bijak memilih UMNO/BN yang sebenar-benarnya membawa aspirasi rakyat, agenda kemajuan negara berbanding terpedaya dengan muslihat dan janji manis pembangkang seperti yang terjadi pada PRU14 lalu.

“Insya-Allah saya yakin BN mampu untuk memastikan 112 majoriti mudah dan lebih untuk tadbir kerajaan dengan gabungan sedia ada.

“Tidak perlu pun fikirkan tentang khemah besar dan kita bergerak solo, ini yang kita mahukan supaya rakyat bersama dengan UMNO/BN dan pastikan kestabilan dan kemakmuran negara kita rasai bersama,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.