PRU15 Peluang Kembalikan Parlimen Kubang Pasu Kepada BN

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal diadakan pada 19 Nov ini adalah peluuang terbaik kepada rakyat mengembalikan kawasan-kawasan yang sebelum ini milik Barisan Nasional (BN) kembali ke pangkuan parti.

Mantan penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, kali ini perjuangan habis-habisan anggota parti untuk bersama-sama meraih pengundi bagi memilih BN.

“Harap pengundi-pengundi akan memberikan kepercayaan kepada BN untuk kembali mentadbir di Parlimen Kubang Pasu kerana kawasan tersebut adalah antara kawasan penting bagi negeri Kedah,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau merakamkan terima kasih kepada kepimpinan parti yang menamakan Ketua Pemuda Bahagian Kubang Pasu, Hasmuni Hassan sebagai calon yang akan mewakili BN dalam PRU15 terbabit.

Dalam hal ini, Hasmuni juga menghargai pemilihannya sebagai calon malah bertekad untuk menangkan BN.

“Ini merupakan tugas amat besar yang saya galas bagi mewakili BN namun saya akan berusaha untuk memenangkan parti dalam PRU. Insya-Allah, saya akan sedaya upaya untuk angkat perjuangan dan menangkan BN, jadi berilah kepercayaan kepada BN demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian (19 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov.

Dilaporkan, dalam PRU14 lalu, BN tewas dalam pertandingan tiga penjuru di Parlimen ini membabitkan lawan dari Pas dan PKR. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.