PH Janji Nak Hapus Tol… Macam Biasa, Mereka Penipu – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol sekiranya mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jelas menunjukkan mereka ini penipu, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Jelasnya, rakyat boleh menilai dengan baik apabila peluang yang telah diberikan kepada mereka disia-siakan begitu sahaja.

“Macam biasa, penipu. Penipu ini, 22 bulan kita dah bagi satu waktu kalau saya boleh ingatkan semula RM1 trilion hutang negara dibuat oleh PH RM500 bilion dalam tempoh 22 bulan. Jadi, rakyat boleh menilai.

“Kalau soal nak hapuskan tol, nak buat janji-janji yang sedap didengar telinga, saya fikir itu memang kerja PH. Tinggal lagi apakah rakyat akan percaya dan kita tunggu manifesto kita, Insya-Allah ianya lebih berpijak di bumi yang nyata,” katanya kepada UMNO Online selepas tamat majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN).

Tengku Haphiz turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana mengetengahkan ramai muka baharu yang dilihat sebagai kesinambungan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Pertamanya saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana telah membuat keputusan yang besar pada PRU kali ini iaitu mengetengahkan ramai muka baharu dan juga rakan-rakan pemuda serta orang muda. Ini adalah suatu yang kita lihat sebagai kesinambungan daripada PRN Melaka dan Johor.

“Peremajaan parti dan kita juga melihat ada dua tiga perkara lain iaitu kerusi-kerusi panas kita letakkan figura-figura yang hebat seperti YB Khairy Jamaluddin. Jadi itu merupakan antara tempat yang saya fikir kita mungkin boleh buat kejutan di Sungai Buloh dan beberapa tempat yang lain.

“Saya fikir pandangan saya mungkin juga rakyat dan anak muda di luar sana boleh bersetuju bahawa inilah waktu dan ketikanya UMNO/BN melakukan perubahan secara total,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada anak muda terutamanya pengundi kali pertama untuk keluar mengundi bagi menentukan kerajaan yang terbaik untuk masa depan.

“Pesanan saya terutamanya kepada anak-anak muda, first time voters wajib keluar mengundi.

“Insya-Allah kali ini dengan keadaan dan suasana yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan untuk memilih calon-calon, undilah UMNO/BN. Pastikan masa depan kita selamat dengan undi yang kita buat pada 19 November nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.