Mohd Nizar Tekad Parlimen Parit Sumbang Kerusi Untuk BN Bentuk Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yakin bahawa kerusi Parlimen terbabit bakal kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal diadakan pada 19 Nov depan.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi terbabit kembali diangkat menjadi calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis pengumuman calon-calon Parlimen BN, semalam.

Dalam hal ini, beliau yang terkenal dengan sifat merendah diri dan ramah merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti yang terus memberikan kepercayaan kepadanya bagi melaksanakan khidmat bakti.

“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar namun saya akan memikul amanah yang diberikan dalam usaha memastikan Parlimen Parit kekal milik BN dan menyumbang kepada angka pembentukan kerajaan Persekutuan

“Terima kasih kepada pengundi Parit yang yakin dan sentiasa menyokong, dan untuk hari pengundian nanti kita bulatkan tekad terus bersama BN,” katanya lagi.

Beliau yang juga dikenali sebagai ‘ustaz’ diangkat menjadi Ahli Parlimen bermula 2008 dan sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam keberadaan bersama masyarakat.

Mohd Nizar seorang figura yang terkenal sebagai salah seorang anak kapal MV Rachel Corrie yang ditahan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) semasa tiba di perairan untuk menghantar misi bantuan kemanusian ke Gaza Palestin pada 2010 juga menggalas tugas selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sebelum ini, Mohd Nizar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2018, selain pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ketika itu beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja pada 2013-2018.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol, Padang Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon Pas, Dr Najiha Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian (19 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. – UMNO Online