Gunakan Ruang Untuk Yakinkan Rakyat, BN Adalah Yang Terbaik – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Ahmad Rosdy Wan Ismail berharap mereka yang terpilih sebagai calon parti itu agar menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang berkenaan untuk membuktikan bahawa masing-masing boleh berkhidmat dengan sebaiknya.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau berkata peluang tersebut adalah satu platform untuk masing-masing bergerak dengan sebaiknya bagi meyakinkan rakyat khususnya pengundi untuk membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 19 November ini.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah mengumumkan senarai calon Barisan Nasional Pahang yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kepada semua calon-calon yang terpilih, ambillah ruang dan peluang ini. Berikan yang terbaik. Buktikan kemampuan kita untuk berkhidmat dengan cemerlang.

“Saya berharap semoga rakyat di Pahang terus memberi mandat kepada BN untuk mentadbir Kerajaan Negeri agar lebih banyak lagi pembangunan dan inisiatif dapat disalurkan untuk kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang seterusnya menambah beberapa muka baharu dan gandingan mukala sebagai calon di peringkat Parlimen dan juga Dewan Undangan negeri (DUN) adalah yang terbaik untuk rakyat membuat pilihan.

“Secara keseluruhannya, BN Pahang membariskan 35 muka baharu yang merangkumi lapan muka baharu daripada 14 calon bagi kerusi Parlimen, dan 27 muka baharu daripada 42 calon  bagi kerusi DUN,” tambahnya. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.