Calon: BN Akan Ketinggalan Jika Tidak Buat Perubahan Sekarang – Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Nov – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan ketinggalan kepada parti-parti pesaing jika tidak melakukan perubahan terutama soal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata walaupun tidak mudah, namun keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulihkan dan menjadi pencetus kepada kebangkitan UMNO dan BN.

Beliau berkata mereka yang tidak terpilih perlulah berjiwa besar sebagaimana peluang yang pernah diberikan kepada mereka dahulu.

“Jangan pula cetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj malah cuba tutup bilik gerakan, memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri. Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan, ia menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian.

“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan. Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung dan jika ini berlaku bermakna (mereka) tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan kerana atas tiket UMNO dan BN,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata langkah meletakkan muka-muka baharu pada PRU15 adalah sebahagian daripada peremajaan parti selain parti perlu menerima hakikat undi di bawah usia 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus daripada pengundi di negara ini.

“Kita perlu berubah. Dalam politik “No one person is indispensable, but all people are important”. Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan.

“Apabila tidak tersenarai bukan maknanya tidak penting akan tetapi tidak selamanya kita menongkat langit maka laluan kepada calon baharu perlu dilakukan kata peribahasa patah tumbuh hilang berganti. Insya- Allah, marilah kita bersama-sama merapatkan barisan, mengukuhkan kesepaduan kita, memastikan kemenangan besar Barisan Nasional demi kestabilan dan kemakmuran negara!,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRU15 berkata dalam usaha untuk mengembalikan kemakmuran ekonomi Malaysia dan menangani isu-isu “poket dan perut” rakyat, BN menampilkan gandingan calon berpengalaman dan muka baharu yang berpegang kepada prinsip keutamaaan taat untuk berkhidmat.

Pada PRU14, BN memenangi 79 kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.