UMNO Terbuka Terima Siapa Sahaja Bantu Parti

MELAKA, 1 Nov- UMNO Melaka terbuka untuk menerima siapa sahaja termasuk bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bagi membantu kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tiada istilah musuh mahupun kawan yang kekal dalam politik.

“Selaku parti politik, kita tiada musuh kekal, kita tiada rakan kekal. Siapa yang nak datang menyokong kita persilakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) negeri di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO sedia menerima bantuan Mohd Rafiq pada PRU15 ini sekiranya bekas ahli Bersatu itu ingin menghulurkan bantuan.

Semalam, Mohd Rafiq mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Sementara itu, Ab Rauf berkata mana-mana individu dalam kalangan ahli parti yang tidak terpilih sebagai calon pada PRU15 kali ini supaya kekal meneruskan perjuangan parti.

“Bagi yang terpilih kita minta kerja sungguh-sungguh (manakala) yang tak terpilih menyokong calon yang bakal diumumkan esok.

Ini bukan hak peribadi, inilah hak parti yang selama ini kita mesti faham bahawa perjuangan kita berlandaskan kepada kekuatan parti bukan kekuatan diri sendiri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.