UMNO/BN Turun Padang Laksana Agenda Demi Kestabilan Dan Kemakmuran – Ismail

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Para jentera diingatkan supaya tidak terlalu yakin serta memahami tugas yang mereka perlu laksanakan bagi meletakkan UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang mutlak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, untuk mencapai kemenangan yang besar, para jentera perlu mempergiatkan aktiviti turun padang dalam melaksanakan agenda parti.

“Pesanan saya pertamanya kepada jentera, jangan over confident. Jentera mesti faham tugas sebagai jentera.

“Jentera pula mesti turun padang dan melaksanakan agenda parti dengan sebaiknya. Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Himpunan Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran pada minggu lalu di Bera.

Mengulas lanjut, beliau memuji kepimpinan atasan parti yang mengambil inisiatif untuk melaksanakan himpunan solidariti yang menjadi bukti bagaimana kesatuan kukuh terjalin antara parti dan kerajaan.

“Apabila ada dua pemimpin besar kita hadir dan menjelajah seluruh negara mengikut negeri, Presiden kita, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menunjukkan bahawa parti dan kerajaan mempunyai solidariti yang kukuh.

“Kita mahu parti menguasai kerajaan dan daripada situ barulah wujudnya kemakmuran. Apabila dapat kemakmuran, kita turunkan kepada rakyat seluruh negara khususnya di Pahang.

Track record Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam mentadbir negeri memang hebat. Tiada janji, lihat bukti,” katanya lagi.

Ismail turut berbangga dengan kejayaan kerajaan negeri Pahang yang berjaya untuk melangsaikan sebahagian besar daripada hutang negeri serta menarik pelaburan besar.


“Kita lihat bagaimana hutang negeri daripada RM3.3 bilion yang telah dibayar, tinggal hanya RM950 juta lagi dan kita juga dapat tarik pelabur luar dan dalam negeri hampir RM20 bilion. Ini satu kejayaaan yang besar dan membanggakan.

“Saya percaya apabila kepimpinan atasan iaitu Perdana Menteri dan Presiden parti, kita dapat memberikan satu signal kepada parti pembangkang bahawa kita akan pastikan gerakan kita, jentera kita bekerja dengan penuh semangat dan bersolidariti.

“Insya-Allah dengan kehendak Allah kita akan dapat mencapai kejayaan di negeri Pahang dan negara dalam meletakkan UMNO/BN sebagai pentadbir,” katanya lagi.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu apabila menewaskan calon daripada parti Pas, Kamal Ashaari dan calon PPBM, Mohd Rafidee Hassim dengan majoriti sebanyak 2,906 undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.