Rakyat Mahukan Perubahan, BN Tawarkan Kestabilan Dan Kemakmuran – Johari Yazid

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Johari Yazid berkata Barisan Nasional (BN) menawarkan kestabilan dan kemakmuran kerana sedar bahawa rakyat mahukan perubahan yang drastik.

Beliau berkata demikian menerusi temubual bersama PUMAS yang disiarkan menerusi platform Facebook UMNO Online semalam, yang bertajuk ‘Bicara Politik PRU 15: ‘Pengundi Bandar’. 

“Ini adalah satu perubahan yang sangat baik yang ditonjolkan oleh UMNO/BN dan ia adalah satu identifikasi kepada rakyat bahawa UMNO sudah berubah ke arah yang lebih segar dan dikatakan 70 peratus calon baharu akan diumumkan, maka ia bakal menjadi realisasi hasrat rakyat.

“Satu benda yang baharu, satu perkara yang segar. Jadi UMNO/BN harus menitikberatkan apabila hendak meletakkan calon-calon untuk PRU 15 ini dan perlu memikirkan aspek apa yang orang muda nak? Bukan dari keseluruhan tapi sebahagian dan ciri-ciri itu perlu ada.

“Pendekatan yang sangat berani dan dituntut serta diharapkan oleh rakyat secara keseluruhannya bahawa ingin melihat muka baharu. Sebenarnya anak muda nak tiga perkara iaitu apa yang ada di atas meja, duit di dalam poket dan juga tempat tinggal,” katanya.

Johari yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras berkata, parti perlu mengetengahkan calon yang berkredibiliti, berpendidikan dan tahu selok-belok permasalahan orang-orang bandar.

“Senario bandar memang macam itu dan memerlukan pengundi-pengundi yang berkerja di bandar mengundi di bandar supaya mereka tahu memilih wakil rakyat yang betul.

“Sekiranya BN memerintah, tentunya mereka ini akan memastikan golongan B40 dan miskin bandar dapat dibantu. Kesedaran pengundi muda penting untuk memastikan sesebuah kerajaan dapat mengurus tadbir negara dengan baik,” jelasnya.

Dalam masa yang sama Johari menasihati pada pengundi bandar agar jangan mengulangi kesilapan lalu.

“Pengundi-pengundi muda ini jangan mengulangi kesilapan yang lalu. Kita sudah lihat 22 bulan, 17 bulan dan apa yang terjadi apabila kerajaan tidak stabil, FDI (pelaburan asing) pun berkurang dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri barulah ada naik peningkatan ekonomi negara tetapi masih lagi tidak cukup maka perlu memikirkan kestabilan politik.

“Tolong undi BN kerana telah terbukti sebuah parti yang menjamin kesejahteraan rakyat, sekiranya mendapat mandat 2/3 untuk memerintah Malaysia. Insya-Allah… BN akan memastikan kestabilan negara ini di tahap tertinggi, kemakmuran dan kestabilan rakyat akan dicapai sebaik mungkin.

“Tolong… tolong jangan buat sikap lama mengundi parti lain selain BN kerana akhirnya bukan anda yang merasakan keperitan itu tetapi ibu, bapa dan saudara yang akan terkesan juga hasil perbuatan anda,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.