PH Cakap Tak Serupa Bikin, Konon Fokus Banjir Tapi Paling Awal Umum Calon PRU15

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menempelak Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkan gabungan itu cakap ‘tak serupa bikin’.

Katanya ini kerana sebelum pembubaran Parlimen, PH menolak untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun kini mereka parti terawal mengumumkan calon, malah turut mengetengahkan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Inilah parti yang menentang sekeras-kerasnya PRU diadakan pada Nov ini kononnya hendak memberi tumpuan banjir di negeri masing-masing tetapi semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bertanding di peringkat Parlimen maknanya semua pemimpin PH bertanding pada PRU15.

“Jadi mana satu eh? Kata hendak fokus kepada isu banjir di negeri masing-masing tapi pada masa sama pemimpin semua menjadi calon.

“Pada saya ini cakap tak serupa bikin, cukup-cukuplah itu jangan hanya tahu bercakap politik atau hanya membuat kenyataan bersifat populis, yang mula-mula umumkan calon bertanding di setiap kerusi adalah parti yang menentang sekeras-kerasnya PRU diadakan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas Azhari lagi, meskipun begitu ianya tidak dapat menutup kelemahan PH yang gagal dalam melakukan tadbir urus negeri-negeri di bawah mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Realitinya mereka ini hanya untuk berkuasa meskipun gagal dalam mentadbir kerajaan negeri masing-masing dengan baik,” ujar beliau.

Terdahulu, PH baru-baru ini mengumumkan Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertanding di Parlimen Gombak; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan sebagai calon Port Dickson serta Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertanding di Batu Kawan.

Pada awal Okt, Majlis Presiden PH sebelum memaklumkan tiga negeri tersebut tidak akan dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini untuk memberi fokus menangani isu banjir. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.