Medium Media Sosial Perlu Dimanfaatkan Ke Arah Kebaikan – Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap medium teknologi maklumat seperti media sosial dimanfaatkan oleh rakyat ke arah kebaikan.

Katanya, ini kerana memperoleh maklumat kini hanya dihujung jari dengan hanya satu klik info dicari mudah didapati.

“Dunia hari ini menyediakan platform secara percuma untuk kita berinteraksi dengan mudah dan cepat melalui aplikasi Facebook, Twitter, Tiktok, Instagram, Telegram, Youtube.

“Dengan era 5G yang semakin laju dan luas liputannya maka media sosial akan semakin mudah diakses di mana sahaja dan mudah juga untuk dimuat naik bahan-bahan yang bermanfaat untuk dikongsi bersama pelayar yang lain.

“Bersama kita manfaatkan media sosial untuk kebaikan supaya menjadi saham pahala di akhirat dan elakkan dari menabur fitnah dan berkongsi info palsu di media sosial sehingga mengancam keselamatan dan menjadi saham dosa yang boleh menjauhkan kita dari rahmat Allah Taala.

“Kini semua menggunakan media sosial untuk memudahkan penyampaian yang lebih tepat dan berkesan, orang muda kebanyakannya adalah sangat obses dengan aplikasi media sosial terutama Tiktok kerana menyediakan pelbagai bahan menarik dan penuh informasi termasuk kuliah agama dan motivasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, penggunaan platform ini  guna digunakan untuk menyebarkan maklumat perniagaan dan politik dalam memberikan maklumat kepada penonton sasaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada para pengikutnya di laman sosial yang sentiasa setia menyokong dan mengikuti perkembangan semasa UMNO/Barisan Nasional (BN) menerusi hantaran-hantaran dikongsi beliau.

Beliau juga turut berkongsi akaun-akaun rasmi miliknya di https://linktr.ee/drahmadzahidhamidi, kini dengan satu klik sahaja anda boleh melayari semua media sosial penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Terima kasih atas sokongan semua pelayar dan pendokong parti selama ini di media sosial Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika tidak ada sokongan sahabat sahabat semua sudah tentu sukar untuk kita menjawab fitnah dan tuduhan palsu yang disampaikan oleh musuh politik kerana penguasaan media tidak lagi berpihak kepada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.