Gelombang Biru Solidariti PRU15 Meriahkan Majlis Pengumuman Calon BN

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 digamatkan dengan kehadiran gelombang biru yang menunjukkan sokongan kepada calon-calon parti.

Majlis bakal bermula pada jam 8.30 malam itu akan diserikan dengan ucapan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diikuti dengan pengumuman calon-calon bakal bertanding pada pilihan raya kali ini mewakili UMNO/BN.

Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata penyokong BN teruja untuk mengetahui siapakah calon yang akan menwarnai PRU ke-15 daripada parti ini.

Pada PRU ke-14 lalu, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13. Lantaran itu, tekad gelombang biru kali ini adalah bagi mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN dengan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU-15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.