Dap Dari PH Perlu Henti Anasir Perkauman Dalam Kempen Politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Dap daripada Pakatan Harapan (PH) perlu menghentikan anasir perkauman dalam kempen politik mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan kenyataan terbaru tokoh Dap, Lim Kit Siang yang dianggapnya langsung tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Terdahulu dilaporkan, Kit Siang dipetik berkata Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia kerana konsep Ketuanan Melayu cuma penyamaran kepada ‘Umnoputra’ yang didakwanya menjadi kaya-raya ketika golongan bumiputera sebenar miskin dan tertinggal.

Bidas Ahmad Zahid, kenyataan ini berisiko menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Pilihan raya adalah elemen terpenting demokrasi, bukan elemen yang berisiko meranapkan kebersamaan masyarakat.

“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga antara kaum di negara ini?

“Seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia, sedangkan semua menyaksikan rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di Malaysia,” katanya melalui hantaran dalam laman facebooknya.

Jelas Ahmad Zahid, sosioekonomi, sosiopolitik dan segala-galanya yang menjadi acuan negara ini sejak dulu.

“BN sebagai contoh merangkumi pimpinan dan ahli parti terdiri daripada pelbagai kaum. Parti Dap sendiri sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.

“Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Daripada golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig. Berhentilah Dap dengan anasir kempen seperti ini.

“Ketuanan Melayu tentang keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu. Termaktub sejak sekian lama tanpa sedikit pun menafikan hak dan peluang kaum lain di bumi Malaysia,” tegasnya lagi.

Kit Siang dilapor mengeluarkan kenyataan terbabit dalam acara pengumuman calon Pakatan Harapan di Papar, Sabah, pagi tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.