Bahang PRU15 Mula Dirasai, ‘Mood’ BN Johor Bahru Amat Tinggi  

JOHOR BAHRU, 31 Okt – Tinggal beberapa hari sahaja lagi penamaan calon bagi Pilihan raya Umum (PRU) ke-15 bakal berlangsung, suasana menjelang tempoh kempen di seluruh negara boleh dikatakan agak rancak dengan parti-parti politik mula ‘menyalakan’ obor di setiap bahagian.

Tidak terkecuali di Johor Bahru apabila Barisan Nasional (BN) bahagian berkenaan mula mengatur langkah membakar semangat seluruh jentera pelbagai peringkat untuk berdepan PRU ke15 dalam usaha membantu calon BN mencapai kemenangan kelak.

Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah turut berkongsi kemeriahan Majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya kawasan berkenaan semalam yang disempurnakan Ketua UMNO bahagiannya, Tan Sri Shahrir Samad.

Jelas beliau kepada UMNO-Online, ‘mood’ dan semangat untuk berdepan PRU kali ini amat tinggi dan rata-rata jentera sudah bersiap sedia untuk membantu kemenangan calon BN yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Malam tadi berlangsungnya Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor Bahru di pekarangan Bangunan UMNO Johor Bahru yang disempurnakan oleh Tan Sri Shahrir Samad. Sememangnya ‘mood’ dan semangat menghadapi PRU15 semakin hangat terasa dengan hari penamaan calon tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kempen bermula,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda BN Johor seterusnya menambah pihaknya akan memastikan seluruh jentera pergerakan itu akan membantu sebaiknya kempen yang akan bermula sejurus penamaan calon pada Sabtu depan.

“Insya-Allah, selaku Ketua Pergerakan Pemuda BN Johor Bahru akan memastikan seluruh jentera Pemuda bergerak membantu memenangkan siapa sahaja calon Ahli Parlimen BN di P160 Johor Bahru. Kestabilan, keselarian dan kemakmuran. Itulah matlamat PRU15 kali ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.