Setiap Undi Cerminan Masa Depan Negara, Tragedi PRU14 Beri Kesan Panjang – Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata undi yang dilakukan oleh setiap daripada rakyat Malaysia memainkan peranan penting terutama kepada masa depan negara.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu diambil sebagai pengajaran kerana ianya memberi kesan kepada keharmonian serta ekonomi negara.

“Kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita apabila memangkah itu fikir masa depan sebab kejadian 22 bulan dan 17 bulan ini memberi kesan panjang.

“Walaupun kita memangkah hanya beberapa saat tapi kesannya cukup hebat sebagai contoh akibatkan kejatuhan Bursa saham apabila mereka memerintah sampai sekarang … hendak meningkat kembali agak sukar

“Lagi satu kewujudan ketidak harmonian apabila agama, bahasa, jawi, tentera, pegawai kerajaan dihina yang ini amat melukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Politik PRU15: Setia, Stabil dan Makmur yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian malah berkata pelbagai peristiwa kedukaan dihadapi rakyat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk kegagalan dalam melunaskan manifesto yang ditawarkan mereka pada PRU14.

“Dalam masa 22 bulan banyak perkara menyedihkan yang kita ketahui pertamanya rakyat ditipu dengan manifesto 100 hari, 10 perkara yang tidak ditunaikan dan janji-janji yang dinantikan oleh rakyat tidak kunjung tiba… tol tidak dihapuskan, PTPTN apabila gaji RM4,000 baru bayar tapi bila mereka menang gaji RM1,000 kena juga bayar.

“Sedangkan anak muda menanti dengan penuh harapan, dijanjikan suri rumah dapat KWSP tapi ianya perlu dipotong daripada gaji suami, i-Suri pun tidak menyeluruh dibuat,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut berkongsi pengalamannya mengikuti rombongan Parlimen Malaysia ke Singapura dan menyaksikan sendiri sebuah bangunan yang telah dijual oleh PH.

“… apabila saya melalui satu bangunan yang cukup besar dan cantik iaitu Duo lepas itu saya bertanya berkenaan bangunan ini kemudian saya dimaklumkan inilah bangunan yang dijual kerajaan PH kepada Singapura.

“Itu satu contoh di hadapan mata, saya terperanjat memang kita tahu bangunan itu dijual tapi saya tidak dapat merasakan sehinggalah berada di situ barulah melihat bagaimana ruginya negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.