SBEZ Mampu Perkasa Aktiviti Ekonomi Kubang Pasu – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini telah mengubah landskap Kubang Pasu dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang selesa buat sekalian rakyat di kawasan ini.

Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkata berpaksi kemudahan yang ada dan keunikannya sebagai pintu masuk darat ke Malaysia dari Thailand, potensi ekonomi sebenar kawasan tersebut boleh digandakan sekaligus memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat.

Menurut beliau Kerajaan BN tempoh hari telah mengazetkan Bukit Kayu Hitam sebagai Special Border Economic Zone (SBEZ) bagi memacu pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut selain dipacu oleh Koridor Ekonomi Utara (NCER), SBEZ merangkumi pembangunan seluas 11,000 ekar di kawasan sempadan Kedah dan Sadao di Thailand.

“Sekiranya Kerajaan BN terus memerintah tempoh hari, kita sudah pasti boleh melihat pembangunan rancak dua komponen penting SBEZ iaitu Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Kota Perdana SBEZ (KPSBEZ) yang boleh menjana  lebih RM72.7 billion dalam ekonomi negara.

“Anak-anak Kubang Pasu pula sudah pasti beroleh manfaat sejak dari awal pembinaan SBEZ sendiri melalui penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Kedai-kedai makan bertambah, pembinaan taman-taman perumahan baru, sektor peruncitan dan perkhidmatan yang mekar adalah limpahan dari projek SBEZ ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Hasmuni yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata, sekiranya SBEZ ini sudah siap dan mula beroperasi secara penuh, peluang-peluang pekerjaan baru berasaskan teknologi tinggi.

Tambahnya lagi ianya wujud melalui pembinaan hub logistik dan penyimpanan sejuk beku, ujian dan saringan veterinar dan makanan dan lain-lain berkaitan bagi memudahcara import-eksport rentas sempadan.

“Walaupun kerajaan baru-baru ini menyatakan komitmen untuk meneruskan dan menyokong SBEZ ini, pertukaran Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 pada tahun 2018 sedikit sebanyak telah merencatkan perancangan baik ini.

“Kecelaruan dan ‘flip flop’ dasar ekonomi serta pergelutan merebut kuasa telah menghakis keyakinan untuk menarik pelaburan-pelaburan ke SZEB. Ayuh rakyat Kubang Pasu, mari kita kembalikan Kestabilan dan Kemakmuran ke kawasan kita bagi memastikan SZEB benar-benar menjadi realiti,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.