PRU15 Jangan Salah Percaturan, Melaka Dan Johor Contoh Terbaik Pilih BN – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pengerusi Barisan Nasioanal (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpandangan Melaka dan Johor adalah contoh yang terbaik bagi mencorakkan sistem politik negara dalam memilih kerajaan.

Ini kerana katanya rakyat jangan tersalah percaturan menjadikan pilihan raya sebagai satu bahan eksperimen politik dan akan menyebabkan kesengsaraan kembali pada rakyat.

“Kalau di ukur Johor dan Melaka itulah selera rakyat sekarang, yang lama tetap menjadi cara lama, yang baharu lebih bertenaga, berfikiran baharu akan mencorakkan satu suasana yang baharu dalam sistem politik negara.

“Beberapa tokoh muda yang diletakkan menjadi wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Melaka telah berjaya merubah lanskap politik, berani, bertenaga, mempunyai kreativiti yang baharu dan tidak melihat UMNO sebuah parti tua. UMNO ialah parti sepanjang zaman mesti dipimpin mengikut putaran alam.

“Putaran alam ini yang muda akan menjadi tua, yang tua pasti akan bersara dan bersedia mengakhiri kehidupan mereka tetapi yang muda ini bertenaga membawa parti ini ke peringkat puncak. Apabila berada di puncak generasi lain akan dilapiskan untuk diwariskan perjuangan dan ini yang berlaku di negeri Melaka,” katanya.

Rauf berkata demikian pada program ‘Berani Benar: Mendepani Cabaran, Menongkah Arus Zaman’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyeru kepada pengundi untuk terus tekad memilih UMNO/BN.

“UMNO berjaya mengembalikan keyakinan rakyat bahawa ‘eksperimen’ yang diberi oleh rakyat terhadap eksperimen politik ini terbukti salah… jadi tak nak rakyat salah lagi dalam PRU akan datang ini.

“Kita jangan tengok siapakah yang melakarkan tawaran yang terbaik sebab semua ternyata hanya menjadi kata-kata memikat untuk menjerat memilih mereka (pembangkang).

“Nak kata tol dihapuskan… tak ada, hapuskan PTPTN pun tak ada, maka kaedah-kaedah yang telah terbukti dibawa oleh BN bagi memakmurkan negara ini dibatalkan. Seperti GST, projek-projek mega yang sepatutnya memberikan kepada satu ekosistem ekonomi yang terbaik seluruh Malaysia ini dibatalkan menyebabkan keyakinan pada kerajaan mengurus tadbir itu tak ada,” ujarnya.

Dalam pada masa yang sama Rauf menghargai sokongan rakyat Melaka bukan sahaja dapat memberikan keyakinan untuk BN mengurus tadbir negeri tetapi keyakinan ini diberikan juga oleh pelabur-pelabur luar negara yang melabur dalam negeri Melaka serta memberikan pulangan pada rakyat.

“Ini telah terbukti keyakinan pelabur yang datang ke negeri Melaka amat luar biasa. Melaka sebuah negeri yang kecil tapi sebuah negeri yang kecil amat berbisa dan hebat.

“Walaupun Melaka sebuah negeri yang kecil tetapi menjadi pilihan bagi pelabur-pelabur asing dalam bentuk Foreign Direct investment (FDI). Dalam satu data di Malaysian Investment Development Authority (MIDA) menjelaskan syarikat dari Germany menjadikan Melaka sebagai tapak pelaburan paling besar,” jelasnya.

Ujarnya lagi, kerana kestabilan atas kekuatan yang dibawa oleh BN, Melaka menjadi tumpuan syarikat-syarikat gergasi dari seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.