Prestasi PH Luar Biasa Teruk, Kuasa Rakyat Kembalikan Kestabilan Dan Kemakmuran – Zahida

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu rakyat telah memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) tetapi prestasi mereka terlalu teruk sehingga rakyat tidak mempercayainya, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Malang sekali katanya peluang yang diberikan oleh rakyat untuk menjamin kehidupan lebih harmoni namun akhirnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan oleh ‘tangan’ mereka sendiri.

“Rakyat harap kehidupannya lebih baik tapi malang sekali prestasi PH luar biasa teruk hingga kerajaan ditumbangkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri, hanya dapat bertahan dalam tempoh 22 bulan.

“Selepas itu bermulalah krisis-krisis politik negara dengan drama tikam menikam, khianat mengkhianat, lompat si katak lompat dan bermacam-macam lagi episodnya.

“Sebagai pengundi pada PRU ke-15 ini, kalian (rakyat) punya hak dan peluang untuk pulihkan kembali segala kehancuran hasil daripada tangan-tangan PH dan serpihan mereka Perikatan Nasional (PN) serta Gerakan Tanah Air (GTA),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Zahida berharap rakyat dapat menghentikan kerakusan PH serta serpihannya dan terus mengundi Barisan Nasional (BN) yang menjamin kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat.

“Gunakan kuasa undi kalian untuk hentikan segala kegilaan ini. Kembalikan kestabilan dan kemakmuran negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.