Peluang UMNO/BN Rampas Parlimen Batu, Manfaat Pergelutan Tian Chua-Prabakaran

KUALA LUMPUR, 30 Okt – UMNO Bahagian Batu meluahkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Parlimen kawasan ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Datuk Yahaya @ Abas Mat Ghani memaklumkan pergelutan dalam PH akan memberikan kesan kepada parti itu dan bakal menguntungkan UMNO/BN di samping kehadiran calon-calon bebas.

“Inilah masa saya kira harapannya untuk UMNO boleh kembalikan kegemilangan BN di sini. Kita yakin boleh menang dengan kecelaruan yang ada pada pihak pembangkang seperti PH antara P. Prabakaran dan Tian Chua serta di antara parti-parti lain.

“Malah Batu ini ramai akan menawarkan diri sebab orang kata lagi ramai lagi bagus, calon bebas pun ramai saya kira dalam lapan atau sembilan calon akan bertanding menawarkan diri,” katanya ketika ditemui media di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata ini membabitkan perselisihan di antara penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran dan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang terjadi terutama membabitkan perebutan jawatan ketua cabang dan calon mewakili PRU15.

“Di Batu ini ada dua kem seingat saya pada tahun 2018 apabila Tian Chua tidak dapat bertanding dan dia terus menyatakan sokongan kepada Prabakaran jadi calon dan menang, selepas daripada itu antara mereka berdua saling bertelagah dan kemuncaknya pada pemilihan cabang PKR tempoh hari dia menang.

“Ini saya kira sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati dan pada pengumuman calon yang dibuat PKR baru-baru ini Prabakaran diangkat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu.

“Sudah tentu saya yakin dan percaya kumpulan Tian Chua akan rasa tidak senang malah ada juga dalam kelompok dia datang berjumpa dengan kita menyatakan sokongan kepada BN, itu yang berlaku dan kita akan tengok episod-episod seterusnya bagaimana keadaan mereka nanti,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.