Hulu Langat Bangkit… Lima Atau Enam Penjuru Kita Sedia Lawan – Johan

HULU LANGAT, 30 Okt – ‘Hulu Langat Bangkit’ bergema di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) kawasan tersebut sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bulan depan.

Kata-kata semangat daripada ‘panglima perang’ kawasan berkenaan yang juga Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dan ditambah pula dengan suntikan kata-kata daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menambahkan lagi suasana pelancaran jentera berkenaan.

Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dalam ucapannya menegaskan biarpun pertandingan kali ini dijangka akan melibatkan beberapa penjuru, BN kawasan tersebut bersedia sepenuhnya untuk berdepan sesiapa sahaja.

“PRU kali ini bukan main-main. Jentera perlu fokus kepada gerakan… apa pun kita cukup yakin jentera siap-siaga dan apa jua keadaanya BN Hulu Langat sedia tempuh… lima atau enam atau tujuh penjuru, kita siap siaga… kita perlu fokus dan tidak hilang tumpuan. Kita tidak kisah pertembungan berapa penjuru tetapi jentera perlu berfokus,” katanya.

Majlis pelancaran Jentera BN Hulu Langat disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam. Turut serta pimpinan setempat rakan-rakan komponen BN yang lain.

Johan seterusnya menambah apa yang penting pada PRU ini, BN perlu bangkit dengan sebaiknya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kita mahukan BN bangkit dengan gagah. Lawan siapa sahaja dan  lawan mesti lawan… inilah semangat yang perlu disuntik dalam setiap diri jentera.Insya Allah ,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.