Abdul Rahman Yakin Parlimen Lipis Kekal Milik BN, Jentera Siap Siaga Gempur
LIPIS, 30 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpuas hati dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh Jentera BN Parlimen Lipis dalam menghadapi PRU yang akan datang.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Lipis yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota akar umbi yang terdiri daripada sayap-sayap dan parti Komponen BN.
Abdul Rahman yang juga penyandang kerusi Parlimen Lipis yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jentera BN malah yakin kemenangan BN di Parlimen Lipis dapat dikekalkan dengan menyasarkan majoriti yang lebih besar.
Untuk rekod, Parlimen Lipis adalah salah satu kubu kuat BN yang telah menyapu bersih kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada PRU-14 yang lalu.
Abdul Rahman memperoleh majoriti undi sebanyak 6,569 iaitu dengan jumlah undi sebanyak 13,995 menewaskan calon PKR Datuk Badarudin Abd Rahman dan calon Pas, Sobirin Duli yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 7,426 dan 6,671. – UMNO Online