Jentera Fokus Yakinkan Pengundi… BN Realisasikan Hasrat Rakyat – Ahmad Maslan

HULU LANGAT, 29 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap jentera parti terus fokus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan diadakan pada 19 Nov depan.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) perlu menang dalam PRU ini untuk usaha merealisasikan pelbagai tawaran khususnya harapan rakyat terhadap parti berkenaan.

“Kita perlu menang PRU ini kerana kita telah melalui 22 bulan dalam Pakatan Harapan (PH)… kita telah melalui 17 bulan dalam Perikatan Nasional (PN). Yang janji 22 bulan itu antaranya ialah suri rumah dapat KWSP… ada dapat atau belum…? Selepas itu apabila mereka menang KWSP itu hendaklah dipotong daripada KWSP suami… kalau suami tidak ada KWSP macam mana…?

“Kemudian mereka kata tol akan dimansuhkan… tiba-tiba adalah beberapa tol yang mereka umum daripada 12 tengah malam sehingga 5 pagi siapa yang lalu… seterusnya apa jadi dengan janji mereka yang lain?”

Ahmad yang terkenal dengan pantun turun membacakan serangkap berbunyi:

Jika tuan pergi memancing,

jangan lupa membawa umpan;

jika tidak mahu kena kencing,

jangan undi Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Hulu Langat, di sini, petang tadi.

Turut serta Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dan rakan-rakan pimpinan parti komponen BN setempat yang lain.

Memenuhi Dewan Hyogo MJII, Beranang, Jentera BN pelbagai peringkat dengan penuh semangat melaungkan kesiapsiagaan mereka untuk membantu parti mencapai kemenangan nanti.

Ahmad seterusnya mengingatkan jentera untuk terus meyakinkan pengundi agar memilih parti berkenaan dan sekaligus menolak PN.

“Tolong sampaikan kepada pengundi baharu dan pengundi lama agar jangan tertipu sekali lagi. Selain PH kita juga ingatkan pengundi agar jangan undi PN.

“PN jangan kita undi… di bawah Tan Sri  Muhyiddin telah ‘mengurung’ rakyat Malaysia paling lama berbanding negara lain seluruh dunia… sehinggakan ada yang angkat bendera putih… sebab ‘surrender’… jangan kita lupa peristiwa itu. Mereka tidak dapat tangani COVID dengan baik,” katanya.

Kata beliau lagi PN yang ditunjangi PPBM terdiri daripada ‘pelompat parti’.

“PPBM mempunyai 31 Ahli Parlimen dan enam sahaja yang original… PPBM pada saya ialah ‘parti pelompat bersatu Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.