Bijaklah Buat Pilihan, Politik Pihak Lawan Masih Wajah Pemimpin ‘Lama’ – Sharkar

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap rakyat bijak dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini dengan menolak parti-parti pembangkang.

Katanya ini kerana, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) pada ketika ini masih berada di takuk yang lama kerana dikemudi oleh pemimpin yang sama dalam membawa agenda politik mereka.

“Mereka ini sudah lama sangat dah sejak saya di sekolah lagi dah mereka yang menentukan politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad… dia dulu dari era Tunku Abdul Rahman dan Malayan Union lagi… sudah lama.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Abdul Hadi Awang dari tahun 80-an mereka sudah ada, sejak kita di sekolah dan universiti lagi. Takkanlah sampai generasi baharu ini muka itu juga?” katanya.

Beliau berkata demikian pada program siaran langsung yang disiarkan UMNO Online dalam segmen Berani Benar: Perjuangan Atau Pejuwang? pada Khamis malam.

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata situasi ini berbeza dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) apabila parti ini sentiasa bertukar wajah kepimpinan parti dan juga Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, perubahan yang dilakukan UMNO/BN tidak mendapat perhatian sebaliknya pembangkang mengalihkan isu di samping sering menuding jari kepada musuh politik mereka.

“Sedangkan UMNO sudah transform tengoklah sekarang ini Perdana Menteri siapa? Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob orang baharu yang dilahirkan selepas merdeka… maksudnya kita ini sudah bergerak ke hadapan, orang tak nampak itu.

“Semuanya penanda aras adalah UMNO, contohnya baru-baru ini dikatanya presiden tak boleh bertanding, sedangkan Lim Guan Eng ketika sedang dalam perbicaraan pun bertanding jadi menteri kewangan.

“Pada pembangkang kalau terjadi kepada mereka okay, tapi tak boleh pada UMNO maknanya secara langsung mereka sedar UMNO ini hebat dan takut dengan UMNO,” ujar beliau.

Dalam pada itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu pada masa sama turut berharap rakyat membuat penilaian yang bijak menerusi PRU15 ini kerana ianya akan memberikan kesan pada masa jangka panjang.

“Kita harap supaya pengundi tidak terkeliru dan memperjudikan masa depan tengok di Melaka, Sarawak, Johor macam mana mereka mencapai kestabilan.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz walaupun orang baharu tetapi oleh kerana ada kestabilan dan rakyat memilih BN kita boleh tengok dari segi pelaburan langsung asing (FDI) negeri ini di tempat pertama.

“Ini sebenarnya yang kita cari kerana kita di Malaysia ini hendakkan kehidupan yang baik bersama keluarga, pendidikan baik untuk anak-anak, kerja yang baik… ini kepentingan mendapat kerajaan yang stabil,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.