Rakyat Boleh Buat Perbandingan… UMNO/BN Untuk Masa Depan – Ahmad Zahid

BERA, 28 Okt – Rakyat telah membuat perbandingan di antara tiga kerajaan yang telah mentadbir negara dan tiada parti sebaik UMNO/Barisan Nasional (BN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, beliau yakin rakyat boleh membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kerana pada saat ini terdapat enam parti gabungan yang menawarkan diri untuk mentadbir negara.

“Kini terdapat enam parti gabungan yang mahu mentadbir negara. Namun rakyat telah membuat perbandingan dan tiada yang lebih baik daripada UMNO/BN setakat ini.

“Mereka amat rindukan UMNO/BN untuk dominan semula atas kesengsaraan mereka selama 39 bulan. Kerinduan tersebut mesti kita jawab dengan kerja keras dan bijaksana oleh jentera kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Himpunan Solidariti Kestabilan Dan Kemakmuran di sini, semalam.

Menurutnya yang juga Pengerusi BN, meskipun kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru mencapai 15 bulan, kejayaan yang diperlihatkan melebihi dua Perdana Menteri sebelumnya.

“Walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri kita sekarang baru menjangkau 15 bulan, kejayaan yang beliau perlihatkan melebihi dua Perdana Menteri sebelum beliau.

“Tentunya kesinambungan ini boleh kita lakukan apabila rakyat memberikan sokongan secara dominan. Kita akan menghidangkan pelbagai tawaran yang optimum kepada rakyat.

“Insya-Allah kita akan lihat lebih 90 tawaran istimewa untuk rakyat kepada seluruh lapisan masyarakat daripada minoriti sehingga ke majoriti. Insya-Allah kerajaan UMNO/BN akan berikan perhatian kepada seluruh rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menzahirkan keyakinan beliau bahawa UMNO/BN akan menang dalam PRU ke-15 ini sekiranya para jentera di Pahang bekerja kuat bagi memenangi hati rakyat.

“Saya yakin kalau jentera kita bekerja kuat dalam PRU ke-15 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang nanti. Saya tidak berniat untuk mendahului urusan Allah tetapi azam UMNO/BN Pahang untuk mendapatkan 30 daripada 42 kerusi dapat dicapai.

“Saya yakin semangat luar biasa yang diperlihatkan ini bukan hanya ketika kita adakan himpunan ini sahaja tetapi diteruskan sehingga UMNO/BN mendapat kemenangan dominan kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.